KALAU kesilapan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu adalah sifat kezalimannya, maka begitulah juga dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Bayangkanlah, kalau Jepun semasa Perang Dunia Kedua dahulu tidak zalim, sebaliknya membina Tanah Melayu dan seluruh Asia Timur menjadi rantau yang berjaya dan makmur, tentu pemerintahannya dapat diterima dan haluan sejarah jadi berbeza.
Tetapi sifat dan sikap Jepun pada masa Perang Dunia Kedua ketika menjajah Tanah Melayu adalah zalim, mengerikan dan tidak berperikemanusiaan, memang wajar ia ditentang dan dibenci.
Begitu juga dengan PKM. Kalaulah ia dahulu muncul sebagai parti yang demokratik, berperikemanusiaan dan tidak zalim, tentu ia dapat diterima dan tidak dibenci.
Tetapi tidak. Sifat PKM telah menjadi seperti Jepun dalam Perang Dunia Kedua, mereka zalim dan menganiaya rakyat. Sedangkan PKM memusuhi Jepun. Makanya PKM telah menyerupai musuhnya sendiri. Justeru wajar PKM ditentang hingga ia menyerah kalah, seperti mana Jepun dilawan hingga akhirnya mengakui tewas.
Tetapi mengapakah Jepun boleh dimaafkan tetapi tidak PKM? Kalau Jepun sudah menandatangani perjanjian damai, maka begitu juga dengan PKM. Pada Jepun, Malaysia nampaknya telah memaafkannya, tetapi tidak pada PKM? Mengapa begitu?
Jawapannya terletak pada entiti yang berbeza antara Jepun dan PKM. Jepun adalah sebuah negara sementara PKM adalah sebuah parti. Pihak yang menjerumuskan Jepun dalam kancah peperangan adalah segolongan tentera berfahaman Fasis. Merekalah yang zalim dan bukannya Jepun sebagai bangsa dan negara.
Golongan Fasis ini tidak dimaafkan. Seperti juga Nazi di Jerman. Setelah Jepun menyerah kalah, pemimpin Fasis ini ditangkap, diadili dan dihukum. Banyak dihukum bunuh. Lepas itu, Jepun dimaafkan kerana Tokyo dipimpin oleh parti demokratik iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP).
Antara parti pembangkang Jepun yang menentang golongan Fasis ialah Parti Komunis Jepun (JCP). Parti ini memilih jalan demokrasi, tidak seperti PKM. Ia tidak zalim dan menjalankan banyak kegiatan sosial. Ia memenangi beberapa kerusi Parlimen, dan kini masih aktif.
Tidak seperti PKM yang memilih jalan ganas dan zalim. Pemimpinnya Chin Peng tidak menyerah kalah dan tidak memohon ampun daripada rakyat Malaysia kerana kezalimannya.
Pemimpin-pemimpin PKM tidak didakwa, diadili, dibicarakan dan dihukum. Sebaliknya mereka mahu diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan tanpa menghiraukan hakikat bahawa dasar-dasar mereka telah mendatangkan kesusahan kepada rakyat.
Sesungguhnya PKM adalah parti yang telah silap langkah dan kerananya banyak kesusahan ditanggung. Mereka tidak dapat dimaafkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
BANJAR MALAYA: APA lagi yang Chin Peng inginkan? Balik ke Malaysia. Poraah. Segala kejahatan, kezaliman dan kemusnahan yang dilakukan oleh PKM tidak akan dimaafkan. Jangan kau pijak bumi Malaysia ini. Nostalgia lama tidak akan padam-padam di sanubari kami dan akan diperturunkan kepada anak cucu kami bahawa kamulah pengganas komunis yang membunuh ramai orang Islam tanpa belas kesihan.
Tahniah YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia. Syukur kepada Allah kerana YAB enggan menemui Chin Peng ketika melakukan lawatan di Selatan Thailand. Didoakan semoga YAB selamat dan berjaya membawa misi keamanan di Selatan Thailand
Tiada ulasan:
Catat Ulasan