20 November 2009

India ada 52 bilionair tetapi 600 juta tiada tandas

MUMBAI - Pasaran saham yang rancak dan pertumbuhan ekonomi yang pesat menyebabkan jumlah bilionair di India meningkat sekali ganda, demikian menurut senarai hartawan yang diterbitkan oleh majalah Forbes.

Di India kini terdapat 52 bilionair berbanding 27 orang pada tahun lalu manakala pada 2007 jumlahnya ialah 25 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Reliance Industries, Mukesh Ambani, mengetuai senarai itu dengan kekayaan dianggarkan bernilai AS$32 bilion (RM107 bilion) diikuti jutawan keluli, Lakshmi Mittal dengan AS$30 bilion (RM101 bilion).

Adik Mukesh, Anil Ambani menduduki tempat ketiga dengan kekayaan bernilai AS$17.5 bilion (RM59 bilion).

"Bilionair India kini kembali ceria. Senarai tahun ini menunjukkan India mempunyai keupayaan untuk mencipta kekayaan jika pasaran kewangan dan ekonomi berada dalam situasi yang baik," kata Pengarang Forbes India, Nazneen Karmali.

Jumlah gabungan 100 individu terkaya India dianggarkan AS$276 bilion (RM929 bilion) iaitu hampir suku daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India.

Nilai pasaran saham India meningkat lebih 75 peratus tahun ini dan ekonomi berkembang hampir tujuh peratus.

Walaupun 100 orang menguasai suku kekayaan India, seramai 600 juta atau 55 peratus penduduk India tidak mempunyai tandas sempurna, menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tahap kebersihan yang rendah dan penyakit menyebabkan India terpaksa menanggung kos sebanyak AS$255 juta (RM858 juta), kata Kementerian Kesihatan India. - Agensi

--- Maka kekayaan yang dibina tidak dimanfaatkan untuk membantu masyarakat khususnya tanggungjawab sosial orang kaya terhadap orang miskin. Apa salahnya bilionair itu menyumbang sebahagian kekayaan mereka untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk.

Betapapun kekayaan yang dimilikki ia tidak akan dibawa bersama ketika meninggalkan dunia ini

Banjar Malaya: Pelik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan