02 Oktober 2010

Ahmadinejad cetus kontroversi baru terhadap barat



Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mencetuskan kontroversi baru, di PBB /New York (24 September 2010) apabila beliau mendakwa majoriti penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan serata dunia percaya kerajaan AS mendalangi serangan 11 September, 2001 dalam usaha untuk memastikan Israel terus wujud.
Kenyataan provokasi Ahmadinejad semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di sini semalam mendorong delegasi AS bertindak meninggalkan dewan.

Ahmadinejad turut menyalahkan Washington sebagai kuasa besar yang mendalangi sekatan Majlis Keselamatan PBB ke atas Iran kerana keengganannya menghentikan kegiatan pengayaan uranium yang didakwa boleh digunakan untuk membina senjata nuklear.
Delegasi daripada semua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) menyusuli langkah perwakilan AS itu meninggalkan dewan diikuti delegasi dari Australia, New Zealand, Kanada dan Costa Rica, kata seorang diplomat EU.

Presiden Iran itu berkata, Washington yang telah memperuntukkan sebanyak AS$80 bilion (RM256 bilion) untuk menaikkan taraf senjata nuklear AS bukanlah hakim yang adil untuk menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan bagi menghukum Iran berhubung aktiviti nuklearnya.
Ahmadinejad yang pernah melahirkan keraguan mengenai dakwaan AS berhubung serangan pada 11 September turut menggesa ditubuhkan sebuah badan siasatan bebas PBB bagi menyiasat serangan itu.

Siasatan sedemikian akan memastikan serangan pengganas tersebut tidak bertukar menjadi satu isu yang tidak boleh disentuh langsung seperti Holocaust dan ‘menyuarakan pandangan mengenainya tidak akan diharamkan’.

Ahmadinejad tidak menjelaskan lojik di sebalik tuduhan beliau bahawa AS mendalangi serangan 11 September tetapi berkata, terdapat tiga teori:
* Bahawa ‘sekumpulan pengganas yang canggih dan sangat kuat’ menembusi sistem perisikan dan pertahanan AS, dengan sokongan ‘negarawan Amerika’.
* ‘Bahawa beberapa kelompok dalam kerajaan AS mendalangi serangan itu untuk menyekat kemerosotan ekonomi Amerika dan menguatkan kembali cengkaman AS ke atas Asia Barat dengan tujuan untuk menyelamatkan rejim Zionis. Majoriti rakyat Amerika serta negara dan ahli politik lain bersetuju dengan pandangan ini’.
Selepas Ahmadinejad menyuarakan dakwaan-dakwaan itu, dua diplomat AS bangun dan berjalan keluar meninggal dewan tanpa mendengar teori ketiga:
* Bahawa serangan 11 September adalah angkara ‘sekumpulan pengganas tetapi kerajaan Amerika menyokong perbuatan mereka dan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku’.

Sebelum itu, Presiden AS, Barack Obama dalam ucapannya pada UNGA mencabar dunia yang pesimis supaya membantu Israel dan Palestin memeteraikan perjanjian damai bersejarah dalam tempoh setahun, setelah usaha sejak berpuluh-puluh tahun lalu untuk mencapai perdamaian menemui kegagalan.

“Kali ini usaha damai akan membawa kesudahan yang berbeza,” kata Obama yang memberi pilihan antara kestabilan di Asia Barat dengan pertumpahan darah berterusan.
Obama menjadikan perdamaian di Asia Barat sebagai tema utama ucapan tahunan beliau pada UNGA, menandakan beliau amat mengharapkan kejayaan daripada rundingan damai terbaru yang kini berada dalam keadaan goyah.
Hampir setiap topik lain dalam agenda antarabangsa beliau diketepikan dalam ucapannya itu.

PRU-13 semakin hampir, Melayu masih belum sedar

Oleh Azman Anuar
CUKUP menarik kalau kita ‘membaca’ pemikiran dua tokoh – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang Melayu pada masa kini.
Terbaharu Dr. Mahathir melontarkan pandangan mengenai Melayu bakal hilang kuasa jika pembangkang memerintah negara ini.
Sebagai anak jati Kelantan, Datuk Nik Aziz pula berkata, beliau tidak berbangga pun jadi Melayu!
Kenyataan Dr. Mahathir mengenai Melayu hilang kuasa itu diselar oleh beberapa pemimpin Melayu dalam PKR dan Pas. Mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu terus menerus meniupkan api perkauman.
Sebenarnya sebagai orang yang dianggap ultra Melayu, nasihat Dr. Mahathir tidak sepatutnya dikaitkan dengan unsur perkauman kerana kenyataan itu ditujukan kepada orang Melayu berdasarkan situasi sebenar apabila kuasa politik dipegang oleh DAP seperti di Pulau Pinang dan Perak.
Malahan kebimbangan beliau itu pun bukan lagi setakat pada perasaannya sahaja tetapi ia benar-benar telah berlaku di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.
Contoh yang diberikan oleh Dr. Mahathir sudah terjadi di depan mata kita. Beberapa pemimpin Melayu dijadikan boneka untuk menampakkan seolah-olah bangsa kita yang berkuasa. Hakikatnya, situasi itu cukup menyedihkan dan menyakitkan hati.
Jika ditakdirkan pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Pusat, mungkin jawatan Perdana Menteri diberi kepada kalangan pemimpin Pas atau PKR.
Pun begitu, mereka hanya sebagai boneka sahaja kerana kuasa sebenar adalah di tangan DAP. Malah kita tidak terkejut jika jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan dipegang oleh DAP.
Berdasarkan pengamatan pemerhati politik, peluang Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sukar dijangkakan jika dilihat suasana yang belum menggalakkan dalam komponen BN.
Ada parti komponen BN sudah tidak menampakkan semangat berjuang dan ada pula yang asyik mementingkan kaum sendiri daripada berjuang membantu kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.
Situasi bertambah sukar jika perpaduan Melayu masih gagal disatukan. Dr. Mahathir sudah banyak menyuarakan tentang pentingnya perpaduan antara orang Melayu.
Tetapi sesetengah pihak Melayu sendiri memandang remeh hinggakan kaum lain hilang rasa hormat kepada orang Melayu dan agama Islam.
Sebab itu, orang Melayu yang insaf akan pentingnya maruah bangsa Melayu mengharapkan Nik Aziz dapat memandu orang Melayu ke arah perpaduan. Tetapi, harapan itu semakin pudar apabila Nik Aziz sendiri tidak berbangga menjadi Melayu.
Jika Tok Guru mendakwa tidak berbangga dengan ‘Melayunya’, apa lagi yang ada pada beliau? Tak mungkin beliau tak tahu bahawa para Nabi dan Rasul pun dipilih di kalangan bangsa tertentu. Takkan beliau minta dilahirkan sebagai orang Arab? Ini takkan berlaku kerana Tuhan sudah takdirkan beliau sebagai orang Melayu. Beliau patut bersyukur.
Sebagai insan Melayu, Nik Aziz juga ada peranannya yang tersendiri kepada orang Melayu selain perjuangan untuk agama Islam.
Tetapi, perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas pula dihat sudah ‘melencong’ daripada perjuangan asal.
Banyak yang sudah kita baca, perjuangan Pas yang asalnya untuk menegakkan hukum Islam kini beralih kepada membela bangsa lain selari dengan perjuangan rakan kongsinya, DAP.
Perjuangan hukum hudud sudah tidak kedengaran lagi. Pas kini bagaikan menyokong tanpa berbelah bahagi apa yang dilakukan oleh DAP dalam menentang Melayu dan negara Islam yang ingin diperjuangankan Pas sendiri.
Kalau tindak-tanduk DAP itu disokong oleh Nik Aziz, maka bukan peliklah apabila beliau mengatakan tidak berbangga menjadi orang Melayu.
Malahan jika Nik Aziz benar-benar mengikut perintah Allah, pasti larangan Allah diketepikannya. Tetapi kenapa beliau sendiri yang mengkafirkan orang Islam yang lain?
Kenapa beliau mencarut? Kenapa menghalalkan wanita bukan Muslim masuk ke rumah Allah, sedangkan wanita Islam yang berhadas besar pun diharamkan berada di perkarangan surau atau masjid?
Kita berdoa agar Nik Aziz kembali sedar akan ‘keterlanjurannya’ demi menyatukan umat Melayu dan Islam negara ini.
Usaha menyatukan Melayu masih disuarakan oleh orang Melayu yang sedar hakikat perpaduan. Tetapi, sayangnya ia masih lagi di tahap bertatih, sedangkan masa semakin hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-13.
Kepada pemimpin parti dan ahli politik Melayu, ingat-ingatlah nasib dan masa depan anak bangsa yang tidak memihak pada mana-mana parti politik dan belum layak untuk menjadi pengundi.
Jangan korbankan masa depan mereka kerana tamakkan kuasa. Jika bangsa bukan Melayu mementingkan survival bangsa mereka di negara ini tanpa mengira parti politik, kenapa tidak orang Melayu? Bersatulah!

Politik Melayu kian murah

ISU perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini kini semakin menjadi-jadi. Ramai pemimpin Melayu tidak kira daripada parti pembangkang mahu pun parti pemerintah nampaknya berlumba-lumba untuk menunjukkan betapa orang Melayu ini rela untuk berkorban apa saja demi mendapat undi daripada bukan Islam.

Kini agama pula ingin dicampur-adukkan dengan politik. Terbaru adalah kontroversi mengenai dakwaan seorang (dan mungkin beberapa orang lagi) khatib mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbah solat Jumaat sebagai ganti doa yang sepatutnya untuk Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri.

Berita Harian pada 25 Ogos lalu melaporkan seorang daripada mereka dengan bangganya memberi kenyataan memang benar dialah orang yang melakukannya. Pada masa sama, beliau tidak langsung meminta maaf kepada umat Islam yang lain di negara ini di atas kesilapan yang dilakukan, sebaliknya mempertahankan tindakan itu sebagai tidak salah tetapi hanya satu kesilapan dari segi pertimbangan.

Mahu dikatakan bodoh, mereka dengan lantangnya mengatakan mereka tidak jahil. Tetapi hakikatnya mereka ini jelas tidak cukup cerdik, bak kata pepatah, “bodoh tak boleh ajar, pandai tidak boleh diturut”.

Kenapa beliau sanggup melakukannya dalam khutbah Jumaat? Juga kenapa baru sekarang ingin memohon maaf, hanya setelah ia menjadi kontroversi yang hangat dan juga setelah satu negara kecoh dibuatnya?

Pemimpin yang didoakan itu tidaklah setaraf Saidina Omar Al Khattab atau Khalid Al Walid untuk diangkat ke darjat yang sebegitu tinggi dalam khutbah Jumaat. Apakah sumbangan beliau begitu besar kepada umat Islam di Pulau Pinang sehingga melayakkan dia dipuja sebegitu rupa?

Bila rakyat kian kritis

RAKYAT di kebanyakan negara di dunia kian kritis terhadap kerajaan mereka. Hari ini, mengkritik kerajaan adalah normal. Ia hanya menjadi tidak normal jika rakyat berdiam diri terhadap apa juga yang berlaku di sekitar mereka hingga sukar meramalkan apa yang ada dalam fikiran mereka. Mereka hanya akan menyatakan perasaan mereka melalui peti undi. Rakyat yang sudah menempuh proses sejarah serta pembangunan negara masing-masing, lebih tahu arah tuju negara masing-masing. Mereka bercakap mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan mereka secara sinis atau berterus terang tanpa segan silu. Golongan yang kritis terhadap kerajaan hari ini termasuk jugalah kakitangan perkhidmatan awam. Jawatan yang mereka pegang bukan lagi menghalang untuk mereka meluahkan pendapat. Mereka tidak mahu menjadi pak turut moden. Dengan berpandukan contoh protes atau demonstrasi yang mereka lihat di televisyen, ia menjadi ikutan mereka. Tambahan pula ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Gerakan pelajar yang yakin dengan kuasa pelajar, badan-badan pendesak, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta parti-parti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah turut memainkan peranan. Dalam proses menegakkan kepercayaan dan idealisme masing-masing, tidak dapat dielakkan wujud pelbagai konflik.

Keadaan ini berlaku dalam semua sistem pemerintahan dunia sama ada pemerintahan authoritarian, anarki, sosialis, komunis, apatah lagi demokrasi. Dalam menghadapi kerenah rakyat yang kritis ini, Malaysia tidak berkecuali. Di mana-mana negara sekali pun, adalah mustahil semua rakyat patuh membabi buta apa juga keputusan kerajaan mereka.
Di Malaysia kebelakangan ini menunjukkan kian ramai golongan yang kritis terhadap kerajaan. Mereka menjadi pengkritik dasar dan tindakan kerajaan ketika berada di kantin pejabat, kedai kopi atau dalam blog. Mendengarkan kritik mereka, ia lebih banyak kepada soal pentadbiran. Marahkan pegawai atasan, parti dan kerajaan dibabitkan. Marahkan tindakan pihak berkuasa, kerajaan disalah. Namun, ada kalanya mereka juga menghala kepada kritikan peribadi, khasnya ahli politik, tidak kira parti kerajaan atau pembangkang.

Mereka juga kritis terhadap isu sosial, agama, ekonomi dan sebagainya. Keadaan ini sukar dibendung kerana ia adalah manifestasi daripada sikap liberal kerajaan. Kerajaan tidak boleh, pada satu pihak mahukan rakyat yang berfikiran kritis dan pada satu pihak lain pula mengkritik pula sikap mereka. Mengkritik rakyat yang kritis adalah bertentangan dengan matlamat program pendidikan untuk mengembangkan pemikiran kritis masyarakat secara individu atau kumpulan. Pemikiran kritis penting untuk penyelesaian masalah dan membuat keputusan.

Sikap rakyat yang kritis terhadap persekitaran mereka sepatutnya dilihat secara positif. Jika kritik mereka ada asasnya, ia perlulah didengar. Jika kritikan mereka salah, ia perlu diperbetulkan. Contohnya, apakah salahnya jika rakyat menyatakan pendapat mereka secara kritis mengenai kenaikan harga barang. Di mana-mana saja di dunia sekali pun, rakyat membantah kenaikan harga barang. Kerajaan pula perlulah menyatakan justifikasi terhadap kenaikan harga berkenaan. Justifikasi pula jangan lah berbentuk keanak-anakan kerana ia akan hanya menjadi bahan ketawa. Kenaikan harga barang bukanlah sesuatu keadaan yang pelik kerana ia berlaku di serata dunia. Ia terletak kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menghadapi kritikan daripada rakyat.

Biarlah rakyat berfikiran kritis asalkan mereka menyokong kerajaan. Ini lebih baik daripada mereka berdiam diri dan menjadi api dalam sekam. Dalam dunia yang bebas maklumat kita tidak boleh lagi bersikap hipokrit. Pada satu peringkat kita menyalah anak-anak tidak kritis, lesu dan layu dan apabila mereka kritis, kita cepat-cepat melatah. Kita perlu kembali kepada matlamat pendidikan. Satu kajian Majlis Pelajaran Amerika Syarikat tidak lama dulu menunjukkan 97 peratus daripada 40,000 responden mewakili anggota fakulti universiti di negara itu mendapati matlamat utama pendidikan ialah untuk mengukuhkan kemampuan berfikiran kritis di kalangan pelajar.

ADA golongan atau individu yang menyokong apa juga yang dilakukan oleh kerajaan mereka. Baik atau buruk tetap disokong. Bagi golongan ini, kerajaan adalah maksum dan tidak pernah bersalah. Mereka menyokong segala tindakan kerajaan walaupun bertentangan dengan hasrat majoriti rakyat. Anehnya, mereka tidak boleh memberi alasan yang diterima umum terhadap asas sokongan mereka. Sikap golongan seperti tidak digemari rakyat, apatah lagi jika mereka bercakap soal retorik dan asyik menyalahkan rakyat.

Rakyat akan meluat jika orang yang bercakap itu sendiri memang dikenali sudah banyak menikmati habuan daripada kerajaan. Setiap mereka adalah ibarat sokong membawa rebah.