12 November 2009

Ihsan



Ihsan merupakan salah satu asas agama yang kedudukannya seiring dengan Islam dan iman. Islam diertikan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai bersaksi tidak ada tuhan selain Allah dan nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi yang mampu.
Manakala iman pula ialah beriman kepada Allah, rasul-rasulnya, kitab-kitabnya, malaikat-malaikat, hari akhirat serta qada' dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah. Ihsan merupakan amalan-amalan pokok yang menjadi tunggak kepada agama iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Pendorong dan pembekal ke arah pelaksanaan ihsan pula ialah keimanan terhadap rukun-rukun iaitu beriman kepada Allah, malaikat, rasul-rasul, kitab-kitab, hari akhirat serta qada' dan qadar.

Ihsan terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya ;

Pertama - Ihsan dalam ibadah
Ibadah yang terkandung di dalam rukun Islam adalah merupakan asas kepada kehidupan seseorang muslim dan aktiviti sehariannya yang mengandungi pelbagai pengertian dan pengajaran. Ibadah mengajak kita tunduk dan menurut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi setiap muslim. Ibadah melatih kita supaya menunaikan kewajipan tepat pada waktunya, sentiasa berhati-hati dan melakukan sesuatu kerja dengan penuh kesedaran dan penghayatan. Banyak lagi pengajaran-pengajaran yang dapat diambil dari ibadah yang kita tunaikan seharian.


Kedua - Ihsan dalam muamalat
Ihsan dalam muamalat adalah merangkumi perkara-perkara seperti berbuat baik kepada ibu bapa, keluarga, kaum kerabat, jiran, orang fakir miskin dan juga kepada makhluk-makhluk lain. Berbuat baik kepada ibu-bapa ialah dengan tidak menyakiti hati mereka, mengikut segala suruhan dan permintaan mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam, disamping menyempurnakan segala keperluan mereka terutama ketika mereka lanjut usia serta tidak berupaya melakukan kerja. Allah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 23
Maksudnya : " Dan hendaklah engkau berbuat baik (ihsan) kepada ibu-bapa, jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan "ah' dan jangan engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun "'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan