19 November 2009

Buat penilaian beza kepimpinan BN-pakatan pembangkang


KALAU ditinjau pembangunan di Kedah dan Selangor, tidak banyak mercu tanda projek baru didirikan. Apa yang ada hanya menyambung projek yang dirintis oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negeri-negeri tersebut sebelum itu.

Kenapa begini jadinya? Tidak salah kalau dikatakan pemimpin kerajaan pakatan pembangkang tidak bijak mentadbir, tidak ada idea baru dan sifar formula untuk menggerakkan jentera ekonomi negeri yang dipimpinnya.

Malah ada kebenarannya hujah Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kebanyakan negeri di bawah pakatan pembangkang menghadapi masalah untuk berkerjasama antara sesama mereka.

Perbalahan antara pemimpin kerajaan negeri daripada parti yang sama dan antara parti pakatan pembangkang, ditambah konflik politik yang membelenggu negeri-negeri terbabit sudah tentu memberi kesan buruk kepada perjalanan pentadbiran.

Pihak yang paling teruk menjadi mangsa ialah rakyat - tidak kira yang mengundi parti pakatan pembangkang atau pun tidak.

Semua ini berpunca daripada kerapuhan pakatan pembangkang. Kumpulan pemimpin pakatan tersebut tidak boleh jadi sandaran untuk rakyat bergantung harapan.

Rakyat negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang boleh melihat dan membuat penilaian sendiri.

Cukup menarik apabila Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam blognya cuba menarik simpati dengan mengakui pakatan pembangkang sedang melalui krisis kehilangan keyakinan daripada rakyat sejak lapan bulan yang lalu.

Rakyat tidak perlu memberi simpati kepada kenyataan seumpama itu. Hakikatnya, selepas hampir 20 bulan bersama-sama dalam pakatan, DAP, PKR dan Pas menunjukkan kerjasama 'dibuat-buat' maka ia mudah rapuh, goyah dan retak - hanya menunggu masa untuk berpecah.

Pas sekarang sedang bergelut akibat perpecahan pendapat kalangan pucuk pimpinan, PKR ada masalah kemerosotan keyakinan terhadap pucuk pimpinan, begitu juga DAP ada konfliknya.

Tujuan asal mereka membentuk pakatan dahulu bukan untuk membantu dan membangunkan rakyat dan negeri tetapi niatnya semata-mata untuk menolak kepimpinan BN.

Sebab itu mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang disandarkan oleh pengundi.

Kita tidak nafikan, situasi hakisan keyakinan rakyat kepada pakatan pembangkang adalah kerana mereka tidak ada kemampuan. Mereka hadapi masalah kredibiliti, integriti dan perpaduan dalam pakatan yang sekejap bergaduh, sekejap berbaik-baik.

Rakyat harus sedar bahawa pakatan pembangkang tidak mampu menunaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu.

Ini amat jauh berbeza dengan gaya kepimpinan dalam BN. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat pelbagai golongan dapat merasai pembangunan dan bantuan yang diberikan. Sebelum pembentangan Bajet 2010, beberapa janji Najib yang dibuat sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri, sudah tunaikannya.

Itulah gaya dan daya kepimpinan yang rakyat mahukan. Bukan penafian dan alasan yang ditabur oleh pemimpin pembangkang apabila gagal menunaikan janji kepada rakyat.

Jelas, memang jauh bezanya di antara gaya kepemimpinan Najib yang berpengalaman untuk memajukan rakyat dan negara berbanding dengan puluhan pemimpin pembangkang.
Terserah kepada rakyat untuk menilainya secara mendalam.

Utusan 27 Okt 2009

Banjar Malaya
-- Maka sayugialah rakyat membuat penilaian bijak terhadap gelagat pemimpin pembangkang yang jelas bukan berusaha untuk memajukan negara dan rakyat bahkan mencelarukan pemikiran rakyat untuk kepentingan politik mereka.

Perjuangan mereka hanya retorik dengan mencipta pelbagai kepalsuan terhadap kerajaan dan mereka-reka cerita di pentas politik agar rakyat keliru dan terus menyokong mereka.

Apakah hari ini kita tidak sedar dengan tindak-tanduk mereka yang memang boleh dilihat bagaimana mereka memainkan isu kononnya merekalah yang terbaik. Walhal apapun yang baik dilakukan oleh kerajaan tetap dianggap buruk oleh pembangkang.

Kini kita menyaksikan betapa satu persatu tembelang pembangkang pecah. Isu kronisme di negeri Kelantan yang membabitkan menantu MB Kelantan dan penajaan menunaikan haji ke Mekah.

Begitu juga bekas orang kuat DSAI yang sudah hilang kepercayaan terhadap beliau dan mula membongkar pelbagai isu yang selama ini mendakwa kegiatan seumpama itu hanya berlaku di kalangan pemimpin kerajaan. Rasuah, salah guna kuasa dan bermacam lagi.

Sesungguhnya kebenaran di pihak kerajaan hendaklah diberi perhatian dan lupakanlah segala dakyah pembangkang yang sebenarnya lagi banyak membohongi rakyat daripada membawa rakyat ke arah kejayaan.
Carilah fakta bagi mencari kebenaran, bukan mencari auta kerana terpedaya dengan kepalsuan.
Sesungguhnya, orang yang berbelit lidahnya di dunia politik hari ini akan mendakwa dirinya yang terhebat. Sedangkan apa yang diperjuangkan mereka selama ini adalah untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan