12 November 2009

Polis terpaksa tembak atau ditembak


Polis terpaksa tembak atau ditembak
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAILrencana@utusan.com.my
DARI sudut orang kebanyakan, kejayaan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kumpulan penjenayah adalah satu kisah yang sangat melegakan. Kejayaan itu sekurang-kurangnya memberi jaminan kepada keselamatan mereka selain melahirkan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan anggota polis.
Bagi mereka juga, ia mampu memberi isyarat yang jelas kepada kumpulan penjenayah di luar sana bahawa mereka tidak akan dibiarkan bebas melakukan kejahatan dan mengancam keselamatan orang ramai.

Sepanjang tempoh sebulan lalu misalnya, lebih 10 orang penjenayah berjaya ditembak mati dalam beberapa operasi polis di seluruh negara. Ia termasuk dua penjenayah Geng Kendong di Melaka; lima penjenayah Geng PCO Boy di Klang dan dua penculik di Johor Bahru.
Tetapi malangnya, kejayaan pihak polis menundukkan penjenayah itu seolah-olah tidak boleh diterima oleh pihak tertentu yang menilai ia merupakan satu bentuk tindakan kekerasan dan berlebihan.

Kepada mereka, pihak polis seolah-olah terlalu ghairah untuk membunuh penjenayah meskipun yang disyaki. Ada juga tanggapan polis bertindak seperti mahu membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas.
Pihak ini juga mempertikaikan di mana prinsip-prinsip mempertahankan diri anggota polis dalam penggunaan senjata api yang seharusnya didahulukan. Malah, ada yang menggesa penjenayah diberi peluang menyerah diri dan membenarkan undang-undang untuk menentukan sama ada mereka benar-benar bersalah.
Memang tidak dinafikan dakwaan itu ada kebenarannya jika diambil dikira dari sudut nilai nyawa seseorang. Apatah lagi jika kejadian berbalas tembakan itu berlaku di tempat awam yang mana orang yang tidak bersalah berkemungkinan terperangkap dan menjadi mangsa.
Tetapi perlu diingatkan, anggota polis pastinya tidak secara semberono 'menembak untuk membunuh' mana-mana penjenayah yang disyaki.
Sebaliknya, ia melalui proses penyiasatan yang rapi dalam menentukan sama ada penjenayah yang diekori benar-benar bersenjata dan dipastikan amat berbahaya sebelum memulakan operasi.

Sebab itu, dalam kebanyakan kejadian penjenayah yang mati ditembak, ia bermula dengan kejadian berbalas tembakan yang terpaksa diambil pihak polis untuk mempertahankan diri.
Tindakan itu juga mematuhi prinsip diskriminasi yang diamalkan polis yang mana mereka mesti memilih sasaran tepat sekiranya keadaan memerlukan mereka berbalas tembakan.

Pihak polis sendiri seandainya mempunyai pilihan, pastinya tidak mahu penjenayah itu ditembak mati. Menangkap mereka hidup-hidup lebih menjadi keutamaan bagi mendapatkan maklumat seterusnya melumpuhkan saki-baki kumpulan penjenayah itu.
Tetapi berdepan dengan penjenayah bersenjata meletakkan polis dalam keadaan penuh berisiko. Dalam situasi itu, hanya dua kemungkinan yang ada iaitu sama ada mereka yang tertembak atau penjenayah yang ditembak.

Bayangkan bagaimana jika yang ditembak itu adalah anggota polis dan penjenayah itu pula berjaya melarikan diri? Penulis tidak mempersoalkan nasib anggota polis yang ditembak, yang pastinya tidak akan dikenang sebagai hero oleh orang ramai.

Sebaliknya, apa bahaya yang menanti orang ramai daripada penjenayah yang berjaya melepaskan diri itu. Siapa yang boleh memberi jaminan penjenayah tersebut tidak akan bertindak lebih ganas pada masa akan datang?

Sementelah yang ditembak mati itu juga adalah penjenayah dengan rekod jenayah yang panjang dan menjadi buruan utama polis.

Justeru, mengapa tindakan pantas polis ini dipersoalkan? Mengapa juga perlu bersimpati dengan penjenayah berbahaya seperti ini?

Agak menyedihkan di sebalik sekian banyak kejayaan polis memastikan keamanan negara, masih ada suara-suara yang cuba memperlekehkan pasukan keselamatan kita itu.
Beberapa insiden seperti kes tahanan yang mati di dalam penjara, kaedah siasatan seperti dibogelkan, dan kekerasan yang kononnya sengaja dilakukan polis dalam menyurai perhimpunan haram sengaja diperbesar-besarkan.

Pihak polis dituduh melanggar hak asasi manusia dan dikritik tidak berlaku adil. Itu belum dikira dengan sekian banyak tohmahan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.
Mereka yang merendah-rendahkan tugas pihak berkuasa ini lebih senang membela nasib penjenayah berbanding mempertahankan keselamatan negara yang sebenarnya menjadi hak setiap rakyat negara ini. Bukan bermaksud PDRM tidak boleh dikritik, tetapi biarlah teguran itu bertujuan membina dan meningkatkan lagi kecekapan sedia ada.
Tuduhan melampau dan tidak berasas hanya akan melemahkan semangat anggota polis yang berasakan seolah-olah pengorbanan mereka langsung tidak dihargai.

Dalam keadaan persekitaran yang sangat mencabar ketika ini, terutamanya aktiviti jenayah yang semakin kompleks, anggota polis mempertaruhkan nyawa yang tinggi untuk mempertahankan keamanan negara.

Seharusnya, kita berasa bangga kerana keberanian mereka berdepan dengan penjenayah dan membolehkan sebahagian besar daripada kita menikmati kehidupan yang selamat dan selesa.
Memang tidak dinafikan dalam kepantasan polis menjalankan tugas, kes-kes jenayah berat seperti samun, bunuh, rogol dan sebagainya masih berlaku.
Ini kerana pihak polis secara bersendirian tidak mampu mencegah jenayah melainkan dengan bantuan orang ramai sebagai mata-mata kepada pihak polis. Tetapi jika imej terhadap anggota polis cuba dihidupkan dalam bentuk yang salah dan buruk, bagaimana orang ramai dapat menaruh keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk mencegah jenayah?
Justeru, mereka yang sering memandang serong dan memperlekehkan tugas anggota polis ini wajar berfikiran secara waras dan membela pihak yang sepatutnya mendapat pembelaan, bukannya penjenayah yang secara terang-terangan mengancam keselamatan negara.
Banjar Malaya: Jangan sangsikan tugas PDRM. Tindakan tegas ke atas penjenayah apatah lagi yang bersenjata amat dialu-alukan. Jika dilayan mereka yang mempertikaikan kredibiliti PDRM jelas mereka adalah pembela penjenayah. Syabas dan tahniah PDRM demi keamanan negara kita Malaysia. Tidak ada kompromi dengan penjenayah apatah lagi melibatkan nyawa anggota PDRM dan orang ramai.

2 ulasan:

  1. Sebaliknya, ia melalui proses penyiasatan yang rapi dalam menentukan sama ada penjenayah yang diekori benar-benar bersenjata dan dipastikan amat berbahaya sebelum memulakan operasi.



    Macam mana budak Amirulrasyid dan Mohd Azizi Aziz.
    Kenapa tak komen

    BalasPadam
  2. kepada BIAR,

    anda terlalu pesimis dan mempunyai fikiran negatif..

    anda tidak berada di tempat individu2 yang melaksanakan tugas..


    seperti penulis kata2 td, bukan semua rahsia kerajaan anda perlu tahu..

    kematian penjenayah yang terlibat dalam setiap kejadian jenayah atau berbalas tembakan, semestinya telah mendapat maklumat tepat dan dikategori maklumat A..

    kejadian yg berlaku di Shah Alam atau lain2 tempat, yg anda rasakan tidak wajar sesuatu tindakan prm?

    bukankan anggota terlibat dituduh dimahkamah. kes masih dalam perbicaraan.. jangan pula anda sakit hati, jika ada keputusan mahkamah yg berpihak kepada anggota berkenaan?

    anda perlu berada di kedudukan anggota terbabit.. adakah anda percaya dgn laporan yg dibuat oleh saksi yg dapat lepaskan diri daripada 4 anggota polis yg menahannya setelah dilaporkan telah memukulnya sebelum berjaya lepaskan diri.. ada tak peluang di ???bak oleh anggota terbabit jika berniat nak b???h..

    sukarnya nk jelaskan pd umum berkaitan kerahsiaan..



    itu hanya penyebab..

    BalasPadam