12 November 2009

Bagaimana bahan letupan boleh masuk stadium?


Bagaimana bahan letupan boleh masuk stadium?

''SAYA hairan bin ajaib, bagaimana semua bahan letupan tersebut boleh melepasi pemeriksaan pihak keselamatan? Alangkah mudah, rupanya ia dibawa masuk. Bagaimana pula sekiranya ada pihak yang merancang melakukan pengkhianatan, misalnya kalau ada yang merancang melakukan pengeboman?

Khabarnya keadaan setelah perlawanan lebih parah lagi. Daripada siaran radio yang kami dengar, seorang pemanggil wanita telah menceritakan pengalaman pahitnya pada malam tersebut. Sewaktu mereka berkumpul untuk menaiki bas setelah tamat perlawanan, keadaan menjadi kelam kabut apabila mereka diserang oleh penyokong berbaju merah. Malah ada yang terkena balingan plastik yang di dalamnya mengandungi air kencing.
Alangkah pilunya cerita beliau. Inikah yang kita kehendaki?''

Begitu komen seorang penulis di ruangan forum di akhbar UM yang melihat telatah penyokong bola sepak Kelantan. Saya rasa terpanggil dan turut menyatakan amat tidak bersetuju dengan gelagat buruk yang sungguh memalukan itu.

Mengapakah menggunakan bahan terlarang ke stadium hanya kerana ingin menonton bola sepak. Peliknya bagaimana pihak keselamatan tidak membuat pemeriksaan ke atas setiap penonton sehingga berlaku kejadian terburuk sehingga merosakkan kerusi, pagar, tandas dan pelbagai kemudahan stadium.

Peminat bola sepak di Malaysia jangan berminda kelas ketiga. Jauh sekali berperangai seperti manusia zaman purbakala. Semangat kesukanan janganlah terbawa semangat kenegerian sehingga tercetus pergaduhan seolah-olah berada di medan pertempuran. Kekalahan diterima sebagai keputusan bukan dicemari dengan tindakan liar sehingga menjatuhkan imej orang Kelantan yang dipanggil rakyat negeri serambi Mekah.

Kalau tak mampu mengawal perasaan, eloklah menonton di rumah sahaja. Tak puas hati tendang dan jahnamkan TV sendiri. Jangan buat vandalisma di stadium sehingga merosakkan harta negara. Bagaimana agaknya hendak meminta maaf dan halal kepada seluruh rakyat Malaysia akibat tindakan tidak berakal itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan