Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dan dipertanggungjawabkan pula untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Untuk itu, manusia memerlukan keturunan dan zuriat untuk mengembangkan tujuan tersebut.
Justeru, anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya dan amanah yang wajib dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya supaya membesar menjadi khalifah Allah yang berguna. Malangnya ramai yang tidak menyedari dan mengabaikan tanggungjawab tersebut.
Anak-anak itu ibarat kain putih. Jalinan coraknya ditentukan oleh acuan persekitarannya. Jika baik acuan persekitarannya, maka warna-warni coraknya pasti menjadi contoh teladan dan sumber ikutan yang baik.
Jika sebaliknya, maka ia boleh merosak masa depannya serta bakal membebani orang-orang di sekelilingnya.
Justeru ajaran Islam sangat mementingkan penjagaan anak-anak sedari kecil. Anak-anak wajar disayangi dan dimanjakan, tetapi harus dididik mengenal Allah, Rasul dan ajaran Islam. Zaman remajanya pula dilayan seperti sahabat, asalkan tidak melampaui batas keibubapaan.
Nabi Muhammad SAW sangat menyayangi anak-anak serta cucu-cucu baginda. Rasulullah SAW tidak pernah memarahi atau meninggikan suara terhadap kanak-kanak semasa ingin menasihati mereka. Baginda sering berlemah-lembut dalam percakapannya dengan kanak-kanak.
Satu hadis dari Sunan Abu Dawud: "Seorang sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada seseorang (Rasulullah) yang mendukung saya dan menasihati saya agar memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya".
Baginda banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya hukuman denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.
BANJAR MALAYA: Pada saya, apalah malangnya anak-anak hari termasuk bayi yang baru dilahirkan menjadi mangsa pembunuhan dan penderaan. Bukan orang lain bahkan melibatkan ibu bapa dan kaum keluarga sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan