Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
APAKAH pendirian sebenar Datuk Abdul Aziz Nik Mat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak? Itulah persoalan yang bermain di dalam fikiran banyak pihak apabila secara tiba-tiba pada Khamis lalu, Menteri Besar Kelantan itu memuji keberanian Perdana Menteri melawat wilayah yang bergolak di selatan Thailand pada 9 Disember lalu.
Dalam kenyataan yang dibuat selepas merasmikan "Seminar menjelang 20 tahun kepimpinan ulama membangun bersama Islam negeri Kelantan," di Dewan Konvensyen Pusat Perdagangan Kelantan, Nik Abdul Aziz menyifatkan Najib sebagai pejuang Islam serta pemimpin yang berani.
Malah Mursyidul Am Pas itu juga berkata, tindakan Perdana Menteri ke selatan Thailand minggu lalu dalam usaha membantu umat Islam di sana adalah satu tugas terpuji dan bersetuju dengan usaha yang dilakukan.
Mungkin dari satu segi kita boleh sahaja menerima pujian yang diberikan oleh Nik Abdul Aziz kepada Najib kerana sememangnya lawatan Perdana Menteri ke Narathiwat bukan sahaja satu sejarah malah satu keberanian luar biasa.
Ini kerana dua hari sebelum ketibaan beliau, puak pemisah melancarkan serangan bom di bandar berkenaan menyebabkan dua orang terbunuh dan lapan cedera.
Tetapi kita tidak harus lupa bahawa di sebalik pujian berkenaan, kita juga berhak untuk bertanya apakah sebenarnya pendirian Nik Abdul Aziz terhadap Najib? Kita tidak harus lupa bahawa sebelum ini beliau sudah tiga kali mengetuai bacaan doa agar Allah menurunkan bala kepada Perdana Menteri. Kali pertama 18 September lalu, kali kedua pada 2 Oktober dan kali ketiga pada 27 November lalu.
Ketika itu Nik Abdul Aziz tidak melihat Najib sebagai pemimpin Islam yang berani, sebaliknya mendakwa bertindak zalim kepada Kelantan berhubung royalti minyak. Selain itu Nik Abdul Aziz dilihat begitu ghairah mengkritik Kerajaan Pusat dan kepimpinan Perdana Menteri dalam banyak isu. Tetapi dalam tempoh dua minggu ini, tiba-tiba pendirian Nik Abdul Aziz berubah dan memuji Najib.
Semua keadaan itu sudah menampakkan dengan jelas bahawa Nik Abdul Aziz semakin tidak konsisten dalam menyatakan pendiriannya. Ini jelas apabila ia menyentuh soal kepentingan politik dalam negeri, Nik Abdul Aziz dilihat akan cuba mencari sebanyak mungkin kelemahan kepimpinan kerajaan dan UMNO, tetapi boleh bertukar fikiran menyokong apabila melihat suatu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan mendapat perhatian rakyat.
Nik Abdul Aziz amat memahami bahawa lawatan Najib telah mendapat pujian banyak pihak. Malah penulis yang membuat liputan lawatan berkenaan mendapati, ulama dan umat Islam di wilayah selatan Thailand mengagumi keprihatinan Perdana Menteri kita yang dianggap sanggup mengambil risiko dengan menjejak kaki ke wilayah berkenaan.
Mengulas sikap terbaru Nik Abdul Aziz terhadap Perdana Menteri itu, Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, nyatalah seperti mana yang sering diperkatakan sebelum ini, Nik Abdul Aziz sekali lagi membuktikan betapa beliau seorang yang tidak konsisten dalam sikapnya terhadap sesuatu perkara.
Katanya, setelah menyedari bahawa isu doa balanya mendapat reaksi berupa kecaman dan kritikan pedas, maka beliau terpaksa mencari jalan meredakan keadaan dengan mewujudkan isu baru yang beliau mahu menumpang pujian hasil usaha orang lain.
"Beliau sedar kali ini kalau beliau terus kecam Perdana Menteri di saat Najib diberi sambutan hebat di Narathiwat, beliau mungkin menempa padah," katanya ketika dihubungi.
Apa yang menarik, Mohamed Mustafa bertanya, adakah dengan memuji Perdana Menteri, Nik Abdul Aziz mampu mengalih perhatian pelbagai isu politik di Kelantan yang masih gagal ditanganinya?
Mungkin pelbagai tafsiran boleh dibuat berhubung pujian Nik Abdul Aziz kepada Najib tetapi apa yang pasti sikap Mursyidul Am Pas itu sejak kebelakangan ini termasuklah doa balanya telah menimbulkan perasaan gelisah di kalangan penyokong parti itu.
Mereka tidak faham apa sebenarnya agenda politik Nik Abdul Aziz yang kadang kala dilihat membuat kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan hubungan dengan Kerajaan Pusat dan pada lain masa pula memuji sikap Perdana Menteri.
"Sepatutnya beliau lebih konsisten berhubung pendiriannya terhadap Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri. Janganlah minggu lalu berdoa diturunkan bala kepada Najib dan minggu ini pula menganggap Perdana Menteri pemimpin Islam yang berani.
"Kenyataan-kenyataan seumpama itu membingungkan ahli-ahli Pas kerana selama ini mereka melihat Nik Abdul Aziz begitu keras dengan Kerajaan Pusat terutamanya UMNO, sebab itulah beliau menentang habis-habisan kerjasama dengan parti itu," kata seorang pemimpin muda Pas dari Kedah ketika dihubungi.
Tidak kiralah apa pun motif di sebalik pujian Nik Abdul Aziz kepada Perdana Menteri tetapi apa yang pasti ia memberikan isyarat yang jelas kepada penyokong-penyokong Pas bahawa dari semasa ke semasa, pendirian Nik Abdul Aziz semakin mengelirukan.
Oleh itu, mana-mana pemimpin dan ahli UMNO tidak perlu teruja dengan sikap terbaru Nik Abdul Aziz itu. Sebaliknya, mereka harus menganggap ia adalah satu lagi kenyataan politik Nik Abdul Aziz dalam usaha mengalihkan pandangan terhadap beberapa isu yang kini sedang mengancam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.
Soal sama ada Najib adalah pemimpin Islam yang berani atau tidak, bukanlah hak Nik Abdul Aziz yang menilai kerana selama ini apa juga yang dilakukan oleh pemimpin UMNO terutamanya Najib, bukanlah mengharapkan pujian. Sebaliknya beliau melakukan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Kesimpulannya, dalam soal kenyataan Nik Abdul Aziz ini juga, mungkin kita boleh memikirkan pandangan seorang lagi pemimpin muda Pas yang menganggap Menteri Besar Kelantan itu dilihat sering menjadi tumpuan dan kontroversi kerana kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.
"Bayangkan kalau media tidak melaporkan kenyataan beliau, sudah tentulah Nik Abdul Aziz tidak akan dilihat lebih dominan berbanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Oleh itu saya tidak hairan dengan pujiannya kepada Najib kerana itulah strategi politik Nik Abdul Aziz selama ini bagi menarik perhatian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan