06 September 2010

Pas lupuskan prinsip demi matlamat dan rangka startegi PRU13


Bagi merealisasikan kemenangan, PAS sanggup melakukan apa saja tindakan, walaupun terpaksa menggadaikan prinsip dan sanggup merubah fahaman politik Islamnya dan melakukan pembohongan ke atas penyokong.

Rekod pilihan raya lalu menunjukkan prestasi PAS hanya meningkat apabila ia bekerjasama dengan parti pembangkang seperti pada Pilihan Raya Umum 1969, 1974, 1990 dan 1999.

Pada 1969, PAS memetarai MoU dengan parti pembangkang, termasuk pembangkang bukan Melayu, untuk menentang UMNO dan Perikatan. Pada pilihan raya itu, PAS menang 12 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di negeri-negeri.
Begitu juga ketika PAS bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan campuran pada 1974, PAS memenangi 14 kerusi Parlimen dan 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada 1990, PAS berjaya menawan semula Kelantan daripada BN setelah mewujudkan kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang disertai Parti Semangat 46. PAS menang tujuh kawasan Parlimen dan 33 kerusi DUN ketika itu.

Pada pilihan raya 1999, PAS menubuhkan Barisan Alternatif (BA) dengan DAP dan Keadilan (kini Parti Keadilan Rakyat - PKR), dengan mencapai kemenangan 27 kawasan Parlimen dan 98 kerusi DUN. Kejayaan ini adalah yang terbesar buat PAS dan ia adalah lebih dua kali ganda berbanding ketika ia bergabung dengan BN 25 tahun sebelumnya.
Ketika pilihan raya 1999 iaitu sewaktu bekerjasama dengan DAP dan Keadilan, PAS berkompromi dan memadamkan ideologi serta manifestonya untuk menubuhkan negara Islam. Kerana hendak 'memberi muka' kepada DAP, dan menang dalam pilihan raya, PAS sanggup menjadi munafik dan menggugurkan matlamat yang terpenting dalam ideologi Islam parti itu.

Ini menunjukkan PAS sanggup tidak menjadi PAS, asalkan parti itu dapat melihat peluang memperluaskan kuasanya, walaupun pada ketika ia dapat mengalahkan calon Melayu sendiri yang mewakili Umno-BN dan memenangkan calon bukan Melayu DAP di kawasan yang bercampur dengan jumlah pengundi Melayu kecil.

Pernah berlaku perbalahan dalam PAS disebabkan taktik ingin menang dalam pilihan raya 1999, tetapi ia berjaya dibendung. Namun pada 2004, Pas sekali lagi digegarkan oleh perbalahan dua "puak sekular" dan "puak Islam" dalam parti itu yang berpunca daripada keghairahan untuk menang besar dalam pilihan raya seperti dilakukannya pada 1999.

Dalam PAS, fenomena yang berkisar daripada perebutan pengaruh antara puak 'sekular' dan 'fundamentalis' boleh disusur sejak 1956. Pada tahun itu, Dr Burhanuddin Al-Helmi mengambil alih kepemimpinan Pas yang merosot daripada Dr Abbas Alias, setelah beliau mengalahkan Zulkifli Mohamad dalam pemilihan parti.
Kerana pembabitan beliau dalam gerakan politik kiri sebelumnya, Dr Burhanuddin pernah tidak diyakini dan dicurigai untuk memimpin PAS pada 1956. Oleh itu, di samping meraikan kemenangan dalam pemilihan tahun itu, pemimpin PAS mengingatkan Dr Burhanuddin supaya tidak menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Namun sepanjang masa ketika beliau menjadi wakil rakyat PAS, suara lantangnya yang kedengaran jelas mengenai kebangsaan Melayu, ketuanan Melayu dan Melayu Raya. Malah dia bersumpah ketika Parti Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan dalam tahun 1948 yang dia akan terus memperjuangkan kebangsaan Melayu atau nasionalisme Melayu.

Beliau membuat ucapan penting mengenainya di Parlimen dan menyokong usul Datuk Onn bahawa kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu mestilah bernama 'Melayu'.

Kemudian apabila usul dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 1961 untuk menubuhkan Malaysia, Dr Burhanuddin menyokong usul kerajaan ini. Beliau kemudian menambah 'Melayu Raya' kepada usul itu untuk mencakup Indonesia, Filipina dan Kepulauan Melayu. Tetapi usul pindaan Dr Burhanuddin ini ditolak oleh Parlimen.

Walaupun nasionalisme atau assabiyah ini pernah diterima oleh Dr Burhanuddin sebagai salah satu prinsip, selain Islam dalam perjuangan PAS, namun kepada pemimpin Pas tahun 1980-an, perjuangan yang berasaskan assabiyah menjadi haram.

Selepas Dr Burhanuddin meninggal dunia pada 1969, kepemimpinan PAS jatuh kepada Tan Sri Mohd Asri Muda, juga seorang nasionalis yang ditugaskan untuk merealisasikan penubuhan sebuah negara Islam.

Kerana tidak bersetuju dengan beliau berikutan mirip kepada nasionalisme, pemimpin PAS yang cenderung kepada revolusi ala Iran mengatur gerakan untuk menggulingkannya.

Namun menoleh ke belakang, apakah bezanya PAS di bawah mana-mana pemimpinnya dulu atau sekarang. Bukankah semuanya menggunakan nama agama untuk menang pilihan raya?

Bezanya, kali ini, Pas menggantikan manifesto 'negara Islam' dengan 'negara kebajikan' kerana ingin mengambil hati rakan kongsinya, PKR dan DAP. Bukankah ini penyelewengan?
Kini apabila PAS menjalin hubungan intimnya kerana mahukan kuasa politik bertambah kuat dan matlamat untuk merobokan kekuatan UMNO/BN, melalui Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anuwar Ibrahim menyaksikan PAS memperkukuhkan keduddukannya di Kelantan pada PRU13.
Malah, PAS juga berjaya di Kedah dan menerjui pentadbiran Kedah, Perak dan mampu menang besar di Selangor membantu PKR dan DAP. PAS juga merobek negeri Johor dengan memperolehi 3 DUN.Peringkat Parlimen PAS hanya memperolehi 23 kerusi dan tidak berupaya menjadi peneraju kepada pakatan pembangkang di Parlimen.
PAS sudah pun berura-ura untuk menguasai Parlimen dengan mensasarkan 60 kerusi. PAS mahu merampas 37 kerusi Parlimen daripada UMNO pada Pilihanraya Umum ke 13, selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia ada.
Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet. Pada PRU 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus
Perlu diingat sewaktu berdepan dengan PRU12 lalu, PAS dan DAP tidak diikat oleh mana-mana gandingan politik melainkan memperjuangkan isu-isu bersama. Selepas PRU12, barulah PAS memeterai satu pakatan politik bersama DAP.
Apakah ini yang mengakibatkan kemerosotan dari segi peratusan undi Melayu yang PAS terima?
Pengikut PAS harus sedar, jika benar PAS memperolehi hanya 45 peratus undi Melayu seperti yang dinyatakan oleh Mahfuz, tidak mustahil tragedi PRU 2004 akan berulang.

Jika hanya 45% pengundi Melayu memilih PAS pada hari ini, PAS akan berdepan dengan masalah bagi konstituensi-konstituensi dimana komposisi pengundi Melayunya melebihi 88 peratus. PAS juga akan bermasalah di konstituensi-konstituensi dimana pengundi Cinanya kurang daripada 18 peratus.

Ini bererti, PAS boleh kehilangan minimum 10 kerusi Parlimennya sekarang. Ini bagaimanapun tidak termasuk kerusi tradisi mereka di Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian serta Marang. Bagaimanapun harus diingat, PAS pernah terlucut kerusi Marang dalam PRU 2004 yang lalu. Kerusi-kerusi yang mungkin PAS akan hilang ialah:

1. P007 Padang Terap.
2. P011 Pendang.
3. P012 Jerai.
4. P013 Sik.
5. P016 Baling.

Kesemua kerusi di atas adalah di Kedah dan pada 2004, kerusi-kerusi tersebut dimenangi oleh BN-UMNO melainkan Pendang dimana PAS pertahankannya dengan hanya 50 undi. Pada 1999 PAS menang Pendang dengan majoriti 2,939 undi atau 6.91 peratus. Pada Pilihanraya Kecil 2002, BN-UMNO merampas Pendang dengan majoriti, 283 undi atau 0.62 peratus.

PAS juga akan kehilangan kerusi-kerusi berikut:

6. P019 Tumpat.
7.P023 Rantau Panjang.
8. P025 Bachok
9. P028 Pasir Puteh
10. P031 Kuala Krai.

Pada tahun 2004, PAS kehilangan Kuala Krai dengan majoriti 2,416 undi, Pasir Puteh dengan 3,810 undi dan Bachok dengan 6,272 undi. Bagaimanapun Rantau Panjang di menangi PAS dengan majoriti 723 undi dan Tumpat dengan majoriti 1,820 undi.

Jika benar PAS menikmati 45 peratus undi Melayu dan kekal menikmati lebih 80 peratus undi pemilih Cina, PAS seharusnya tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi berikut:

1. P008 Pokok Sena.
2. P021 Kota Bharu.
3. P036 Kuala Terengganu.
4. P057 Parit Buntar.
5. P059 Bukit Gantang.
6. P096 Kuala Selangor.
7. P101 Hulu Langat.
8. P108 Shah Alam.
9. P111 Kota Raja.
10. P119 Titiwangsa.

Daripada jumlah 43 buah kerusi Parlimen yang PAS tewas dalam PRU12, saya mendapati PAS hanya mempunyai peluang untuk menawan 9 buah kerusi Parlimen sahaja. Konstituensi tersebut ialah:

1. P081 Jerantut.
2. P067 Kuala Kangsar.
3. P042 Tasek Gelugor.
4. P090 Bera.
5. P095 Tanjung Karang.
6. P093 Sungai Besar.
7. P001 Padang Besar.
8. P079 Lipis.
9. P059 Lenggong.

Peluang PAS ini bagaimanapun banyak bergantung kepada calon yang akan diletakan oleh BN-UMNO serta keupayaannya mendapatkan sekurang-kurangnya 45 peratus undi pemilih Melayu.

Bagi konstituensi seperti Arau, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Jerlun, walaupun PAS menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU12-2008, tetapi PAS akan menemui laluan sukar kerana mereka perlu memenangi lebih dari 50 peratus undi Melayu untuk menang di sini.

Walaupun PAS mensasarkan untuk bertapak di beberapa kawasan Parlimen di Negeri Sembilan dan Johor di mana pengundi Melayu kurang daripada 80% dan jumlah pemilih Cina adalah tinggi, namun pengikut PAS harus sedar, secara realitinya ia adalah amat sukar. Ini kerana PAS tidak mempunyai jentera yang besar di negeri-negeri tersebut bagi menawan kerusi-kerusi Parlimen.

Di dalam pilihanraya kecil di mana jentera PAS dari Kelantan dan Terengganu menumpu sepenuh perhatian pun, PAS masih menghadapi kesukaran apa lagi di dalam Pilihanraya Umum.

Sebenar-benarnya, PAS telah mengganjakkan pintu gol mereka untuk memudahkan DAP menjaringkan gol. Tetapi di dalam berbuat begitu, PAS telah menimbulkan kekeliruan kepada barisan pertahanan mereka.

Impak dari tindakkannya itu juga, PAS berpotensi untuk kehilangan kerusi-kerusi tradisinya kesan dari kemuncupan sokongan pengundi Melayu akibat keghairahan segelintir dari pimpinan PAS menari mengikut gendang perang oleh masyarakat Cina.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa, berkemungkinan PRU13 akan menjadi medan untuk UMNO membakar api perkauman di kawasan Melayu bagi menentukan hidup mati Ketuanan Melayu di bumi yang satu ketika dahulu di panggil Tanah Melayu.Jika ini benar berlaku, ia akan menyaksikan pengundian berdasarkan garisan perkauman dan PAS berkemungkinan akan tersepit di dalam pertembungan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan