05 September 2010

Buru 'bos' pengkhianat negara



ISU pekerja asing di negara ini tidak sudah-sudah dibincangkan. Daripada isu kebanjiran mereka, kemasukan tanpa dokumen sah, kelakuan jenayah sehinggalah soal kebajikan mereka turut dibincangkan. Angka 1.8 juta jumlah mereka di seluruh pelosok negara ini sudah cukup memberi satu kebimbangan kepada rakyat kita. Ini tidak termasuk jumlah pelancong dan mereka yang bukan dikategorikan sebagai pekerja seperti pemegang pas pelajar seramai 60,000 dan tanggungan keluarga mereka seramai 98,000.
Dalam soal ini, adakah kerajaan patut dipersalahkan kerana membawa masuk mereka semata-mata mengisi keperluan industri tempatan terutama sektor perkilangan, pembinaan mahu pun perkhidmatan yang tidak mampu dielakkan?
Hakikatnya, sedikit sebanyak faktor sikap memilih pekerjaan rakyat kita sendiri inilah yang menjemput mereka masuk. Sungguhpun begitu, kerajaan sentiasa mengintai peluang dan mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Antaranya, meletakkan sasaran dengan mengehadkan jumlah mereka dalam lingkungan 1.5 juta orang menjelang tiga tahun lagi.
Mungkin ini sedikit melegakan kita yang mana jumlah mereka pada tiga tahun lalu pernah mencapai 2.2 juta atau hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia yang terdiri daripada warga asing iaitu bermakna seorang warga asing bagi setiap empat pekerja tempatan.
Namun, pada tahun ini, sejumlah 400,000 pekerja asing berjaya dikurangkan sekali gus menjadikan jumlah mereka kini 1.8 juta yang terdiri daripada 50.9 peratus warga Indonesia, diikuti Bangladesh (17.4 peratus), Nepal (9.7 peratus), Myanmar (7.8 peratus), India (6.3 peratus) dan Vietnam (4.2 peratus).
Tidak sekadar meletakkan sasaran sahaja, kerajaan turut menubuhkan Makmal Pengurusan Pekerja Asing pada 23 Mac lalu melibatkan 14 kementerian, 11 agensi dan kira-kira 30 organisasi majikan serta pihak berkepentingan dalam pengambilan pekerja asing.
Makmal berkenaan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil ke arah mencapai sasaran itu walaupun terpaksa menerima hakikat negara ini masih memerlukan pekerja asing. Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam memberitahu apa yang diharapkan melalui sistem pengurusan pekerja asing ini adalah memastikan mereka dibawa masuk secara sah dan kemudian akan balik ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja.
''Dalam sektor tertentu, kita masih memerlukan pekerja asing tetapi kita perlu memastikan jumlah mereka dikurangkan pada satu tahap yang boleh kita uruskan.
''Isu sebenarnya ialah bagaimana menguruskan mereka yang datang kerana ada yang masuk tetapi tidak pulang dan ada yang datang melalui cara lain. Oleh itu, kita harap melalui makmal tersebut, penyelesaian dapat diambil bagi membolehkan pekerja asing diuruskan dengan baik," katanya.
Selain pekerja asing, ada satu lagi kumpulan warga asing yang patut dibimbangkan iaitu mereka yang menyelinap masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, mereka yang dikenali sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dianggarkan dalam nisbah satu PATI untuk setiap warga asing yang sah. Ini bermakna, jumlahnya hampir atau melebihi pekerja asing yang sebanyak 1.8 juta itu yang didapati memasuki negara ini sama ada melalui 'jalan tikus' atau tinggal melebihi tempoh. Pada masa ini, terdapat kira-kira 6,700 PATI yang ditahan di 13 depot tahanan Imigresen seluruh negara sementara menunggu untuk dihantar pulang.
Abdul Rahman berkata, kerajaan melalui Jabatan Imigresen tidak mampu 'mencari' PATI yang bersembunyi di setiap ceruk kota mahupun desa dan tidak termasuk di hutan-hutan belantara tanpa kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.
Dalam konteks itu, para majikan juga perlu memberi kerjasama untuk tidak menggajikan PATI semata-mata mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana tidak perlu membayar kos permit mereka atau sekadar dapat membayar gaji lebih murah.
Bagaimanapun, mulai kelmarin, majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab itu mungkin tidak lagi boleh tersenyum apabila Jabatan Imigresen memperhebatkan operasi memburu 'bos pengkhianat negara' itu yang sanggup melindungi PATI walaupun setiap hari anggota penguatkuasa jabatan itu terpaksa bersengkang mata demi kepentingan rakyat.
Sekiranya tertangkap, majikan terbabit boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959, Seksyen 55B iaitu kesalahan mengambil pekerja asing tidak memiliki pas sah; menggajikan pekerja asing memiliki pas untuk sektor lain dan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan sah.
Atau kesalahan membabitkan Seksyen 55E akta yang sama iaitu membenarkan imigran haram masuk dan tinggal di premis majikan manakala kesalahan di bawah Seksyen 56 (1(d)) akta itu berkaitan memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui melanggar peruntukan akta tersebut.
Melalui peruntukan akta itu, mereka boleh didenda tidak kurang RM10,000 dengan maksimum RM50,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-dua sekali bagi setiap pekerja di bawah Seksyen 55B bagi kesalahan menggaji lima orang pekerja asing. Manakala kesalahan di bawah Seksyen 55E pula memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali untuk setiap imigran haram yang dijumpai di premis.
Bagi enam bulan pertama tahun ini, seramai 120 majikan telah didakwa melakukan kesalahan di bawah akta tersebut. Diharapkan, hukuman bagi kesalahan itu sudah cukup membuatkan mereka serik.
Bos pengkhianat negara inilah yang patut dibimbangkan. Mereka sanggup melindungi PATI walaupun tahu risikonya sekiranya berlaku kegiatan jenayah melibatkan warga asing tidak diundang ini yang boleh mengancam nyawa rakyat kita. Dalam pada kerajaan terpaksa berhabis duit sehingga RM27 juta setahun untuk mengusir mereka pulang ke negara asal, tidak termasuk kira-kira RM87,100 kos menanggung makan dan minum PATI di depot sehari, ada pihak yang bersuka ria mengaut keuntungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan