22 Julai 2011

PKM bukan pejuang kemerdekaan

KEMERDEKAAN Tanah Melayu tidak pernah diperjuangkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). PKM ditubuhkan pada 1927 (30 tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan) tetapi berfungsi sebagai pertubuhan 'secret society' atau kongsi gelap dan keseluruhan anggota asalnya adalah orang Cina.

Sebelum Perang Dunia Kedua, PKM sebenarnya bergiat dalam kegiatan mewujudkan huru-hara, kekacauan dan ketidakstabilan pekerja dalam ladang getah, syarikat bijih timah dan perkapalan di Malaya.

Pada 1941 Russia diserang tentera Jerman dan Britain serta Russia menjadi rakan dalam peperangan dunia itu, PKM menukar haluan lalu menyokong tentera British untuk menentang Jepun di Tanah Melayu.

Peperangan Jepun di Tanah Melayu membolehkan PKM mencapai dua objektif. Pertama menentang musuh tradisional (Jepun) dan kedua menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Pada masa inilah, pemimpin tentera British di Malaya mendekati PKM untuk saling membantu bagi mengalahkan Jepun dengan janji bahawa selepas Jepun kalah, mereka akan meletakkan senjata.

Pada awal perang Jepun, bilangan PKM (ahli daripada Malayan People Anti-Japanese Army atau MPAJA) seramai 3,000 orang, tetapi meningkat 7,000 orang pada 1945.

Kekosongan yang wujud antara kekalahan Jepun pada Ogos 1945 dan kedatangan semula British di Tanah Melayu menyebabkan komunis (yang juga ahli MPAJA) bermaharajalela. Pemimpin mereka yang berharapan tinggi untuk menguasai Tanah Melayu selepas perang, mula menunjukkan sikap bengis dan zalim yang tidak berbeza dengan ketika Jepun memerintah.

Apabila British kembali dan menapak semula pentadbiran mereka, tentera MPAJA menyerahkan senjata. Namun, masih banyak ditinggalkan di tempat strategik dalam hutan untuk digunakan semula apabila masanya tiba kelak untuk mencetuskan pemberontakan komunis. Ketika itu komunis berjaya mendapat kepercayaan dan kelulusan British untuk menubuhkan parti komunis di Tanah Melayu.

Orang Cina dalam MPAJA yang menyertai PKM bekerja keras untuk menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Mereka nampaknya bersedia menghadapi tentangan orang Melayu jika tidak kerana Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) yang menguasai kumpulan militan yang mengganas dan membunuh penduduk dalam masa tiga bulan selepas Jepun berundur.

Pada akhir 1945 hubungan Melayu – Cina menjadi begitu buruk sehingga orang Melayu terdesak untuk menubuhkan sebuah pertubuhan politik – Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM (ditubuhkan pada November 1945), terutama untuk melindungi nyawa daripada keganasan MPAJA dan kepentingan Melayu daripada ura-ura rancangan British.

Pada Januari 1946 Kerajaan British mengisytiharkan rancangan menghapuskan hak Melayu dengan menubuhkan Malayan Union. Pada Mac 1946, Datuk Onn Jaafar menubuhkan Umno untuk menentang cadangan pentadbiran Malayan Union yang dasarnya tidak membezakan antara hak Melayu dan kepentingan orang Cina serta kaum imigran lain. Malayan Union, bahkan akan menghapuskan sama-sekali hak Melayu dan raja-raja. Di sini, bermula perjuangan orang Melayu untuk mempersiapkan diri dan berjuang menuntut hak dan memerintah sendiri Persekutuan Tanah Melayu (ditubuhkan pada 1948).

Terdahulu, raja-raja Melayu menarik balik persetujuan dan menyesali tandatangan yang diberi kepada Harold Mac Michael, wakil Kerajaan British untuk menemui sultan dan mendapatkan tandatangan mereka untuk menubuhkan Malayan Union.

Sementara itu, di Britain, rancangan Malayan Union diserang dan dikritik hebat oleh pegawai tinggi British dalam Dewan Tertinggi (House of Lords) menerusi usaha melobi anggota Dewan Rendah (House of Commons) serta menerusi surat dalam akhbar Britain yang ditulis oleh bekas pegawai tinggi Kerajaan British di Tanah Melayu.

Salah seorang daripada mereka ini ialah Sir Frank Swettenham. Beliau menentang Malayan Union kerana sistem pentadbiran ini melemahkan kedudukan dan status istimewa orang Melayu yang dilindungi sejak sebelum perang lagi. Dalam pada itu pun, tiada kumpulan tertentu di Tanah Melayu yang menyokong Malayan Union secara terbuka, sungguhpun ramai orang Cina tidak menolak sistem pentadbiran baru itu.

Victor Purcell, penasihat dan penyokong kaum Cina pada masa itu (yang tidak disukai oleh Tunku Abdul Rahman) menulis dalam bukunya The Chinese in Southeast Asia, bahawa di kalangan orang Cina wujud sikap yang tidak mengendahkan Malayan Union. Malayan Union akhirnya digagalkan. Tetapi, orang Melayu belum lagi selamat sepenuhnya daripada pelbagai ancaman terhadap masa depan mereka. Beberapa bulan selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pelbagai kekacauan berlaku.

Pada 1948, parti politik diharamkan dan PKMM, yang tidak puas hati dengan terma kerakyatan tidak lagi dapat berfungsi. Komunis (PKM) yang menentang melancarkan keganasan dari tempat persembunyian mereka dalam hutan. Pada Februari 1948, satu persidangan komunis antarabangsa berlangsung di Kolkatta, India dianjurkan oleh Komunis Asia dan Australia. Selepas itu beberapa kekacauan berlaku di India, Myanmar dan Indonesia.

Di Tanah Melayu, 'watak Melayu' dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 mungkin menjelaskan mengapa semua anggota PKM adalah orang Cina. Tetapi, orang Cina yang menjadi anggota Kuomintang (KMT) menghadapi nasib sama seperti orang Melayu.

Pada Februari 1949, MCA ditubuhkan untuk menyuarakan kepentingan kaum mereka di pekan dan bandar. Kemunculan MCA ditentang oleh PKM. Ramai ahli MCA menjadi mangsa keganasan komunis.

Tertekan antara ancaman komunis dan desakan untuk memain peranan dalam negara yang bakal merdeka, MCA bergabung dengan Umno. Tetapi, dalam Umno sendiri berlaku ketegangan dan perpecahan yang berkait dengan penyertaan orang Cina dalam Independence of Malaya Party (IMP). Pada masa itu ahli sesebuah parti boleh menjadi ahli parti lain. Akibatnya Datuk Onn diganti oleh Tunku Abdul Rahman.

Ketika Umno dipimpin oleh Tunku, proses untuk mencapai kemerdekaan berjalan lancar. Perkembangan ini dipercepatkan oleh penubuhan Umno-MCA yang menang pilihan raya majlis tempatan pada 1951. Nampaknya, orang Cina tertarik kepada IMP yang ditubuhkan oleh Datuk Onn selepas keluar Umno.

MCA hampir pecah kerananya. Penyokong MCA yang berpendidikan sekolah Cina anehnya menyokong Umno, sedangkan berpendidikan Inggeris menentang Umno. Malah, mereka ini menyokong IMP. Pemimpin MCA sendiri, Tan Cheng Lock, yang berpendidikan Inggeris berada dalam dilema, sedangkan beliau bersahabat baik dengan Datuk Onn.

Titik tolak sebenar ke arah kemerdekaan Malaya ialah kemenangan Umno-MCA dalam pilihan raya kerajaan tempatan 1951. British sedang memerhati dari jauh. Malah sebelumnya, British sedia menerima IMP yang membuka partinya kepada orang Cina untuk memulakan rundingan kemerdekaan. Tetapi, IMP 'dilitar-pintaskan' oleh kemenangan Umno-MCA. Inilah titik-tolak sebenar dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu yang mendorong Tunku untuk mengorak langkah merundingkan kemerdekaan dengan British selepas peristiwa kemenangan itu.

Dengan kejayaan perikatan Umno-MCA dalam pilihan raya Majlis Tempatan Kuala Lumpur pada 1951 dengan IMP memenangi hanya dua kerusi, maka Umno membuka langkah memulakan tuntutan untuk menubuhkan kerajaan sendiri dan untuk merdeka. Pada 5 April 1953, Umno Melaka mendesak diadakan pilihan raya persekutuan pada tahun berikutnya. Mereka mengancam Kerajaan British untuk menarik diri bersama anggota MCA daripada Majlis Perundangan Persekutuan. Malah, jeritan Merdeka! mula kedengaran di mesyuarat Umno Melaka itu.

Pada 15 Oktober 1954 di mesyuarat tahunannya, Pemuda Umno Melaka meluluskan resolusi yang meminta kerajaan supaya kemerdekaan diberi secepat mungkin. Tindakan Pemuda Umno Melaka ini sebenarnya atas galakan Tunku sendiri supaya mengambil sikap ekstrem terhadap British. Manakala Umno induk lebih berdiplomasi. Inilah cara sebenar Tunku merundingkan isu kemerdekaan dengan British dan MCA kemudian.

Pada 21 April 1954, Tunku ke London untuk menemui Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British, Oliver Lyttleton. Rundingan yang kurang memuaskan sekitar butiran mengenai keanggotaan Majlis Perundangan Persekutuan sepanjang 1954 mendorong Umno-MCA (iaitu Perikatan) untuk melancarkan boikot dalam Majlis Perundangan. Akhirnya, British bersetuju mengadakan pilihan raya Tanah Melayu pertama pada 27 Julai 1955.

Selepas mendapat kepercayaan British untuk meneruskan rundingan kemerdekaan, Tunku mengumpul sokongan Umno kepada sultan. Pada 15 September 1955, mesyuarat Raja-Raja Melayu memberi restu kepada Tunku untuk berunding dengan British. Malah, pada awal 1956, Raja-Raja Melayu memberi petunjuk bahawa mereka bersedia bekerjasama dengan Tunku dan Perikatan.

Pada saat kemerdekaan hampir tercapai, Tunku menemui hampir semua pihak, kecuali komunis (PKM). Pada 1955, apabila Tunku menyatakan hasratnya untuk menemui Chin Peng di Baling, Kedah, British tidak bersetuju.

Laporan perisik dan tentera British menjelaskan PKM sudah kalah dan tidak perlu Tunku mengadakan lagi rundingan politik dengan komunis. Di satu mesyuarat dengan Tunku, British mendesak beliau supaya tidak mengiktiraf PKM. Kepada British, pihak komunis hanya menukar taktik daripada keganasan ketenteraan kepada bersifat politik.

Kegagalan Rundingan Baling menyebabkan kerajaan pimpinan Tunku selepas merdeka mendokong dasar antikomunis. Walaupun Chin Peng mengirim sepucuk surat kepada Tunku pada 10 Oktober 1957 (hampir dua tahun selepas Rundingan Baling) untuk berunding semula, Tunku tidak mengendahkannya lagi.

Setahun lapan bulan kemudian selepas Rundingan Baling, Tunku dengan bangganya mengisytiharkan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan