23 Julai 2011

Faktor Najib penentu kejayaan BN

SEJAK Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin negara, satu evolusi perubahan dalam pelbagai sektor dan agensi seolah-olah telah melalui perubahan. Baru setahun mentadbir, kepimpinan beliau telah menjadi rujukan dan terma yang dikaitkan dengan masa depan negara.
Tidak ada tempoh bulan madu untuk Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada April 2009 memandangkan kekangan persekitaran politik masa kini yang memerlukannya menangani isu kepimpinan, kegawatan ekonomi dan perpaduan yang ketara terhakis selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mac 2008.
Hari ini, ramai yang bercakap dan membuat analisis tentang gaya kepimpinan beliau yang bersifat 'transactional leadership'. Faktor Najib dikatakan menjadi penentu kejayaan Barisan Nasional (BN). Ini ketara dapat dilihat pada pilihan raya kecil Bagan Pinang dan Hulu Selangor, sekali gus menjadi panduan dan pengukur di Sibu pada 16 Mei ini.
Beliau memberikan rakyat satu nilai 'kepimpinan' yang bersedia diuji di gelanggang hubungan pemimpin dan pengikut. Najib menampakkan keikhlasan untuk memperbaharui platform parti dan kerajaan, menunjukkan kesediaan mengambil risiko, mudah didekati menerusi kepelbagaian pendekatan termasuk laman sosial Facebook dan blog, serta yang paling utama adalah kesediaan untuk menerima maklum balas daripada masyarakat umum.
Beliau telah menggariskan beberapa agenda yang boleh dianggap sebagai grand master plan' untuk membiarkan masyarakat menilai dan menghalusinya kelak pada akhir penggal PRU Ke-12. Kejujuran Najib beralaskan kepada keinginan untuk membiarkan rakyat menilai pencapaian kerajaan kepimpinan beliau melalui perincian gagasan pentadbirannya yang berpaksikan kepada 'rakyat'.
Kesemua perincian grand master plan Najib merangkumi gagasan 1Malaysia, KPI, NKRA, PTK, MEB dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Transformasi yang ingin dibawa oleh Najib bersandarkan kepada sejauh mana rakyat sendiri responsif terhadap gagasan besar beliau supaya keyakinan dan kepercayaan dapat dibina semula untuk kekal relevan menjelang PRU Ke-13, kira-kira dua tahun dari sekarang.
Fasa pertama selepas satu tahun mentadbir negara menunjukkan populariti Najib melonjak dan prestasi itu perlu dikekalkan untuk membolehkan sokongan diterjemah dalam bentuk undi. Mood rakyat perlu dicipta seolah-olah satu undi untuk BN adalah satu undi untuk Najib. Fasa pertama pentadbirannya masih di tahap melahirkan kesedaran ke atas gagasan besar beliau.
Kini, dalam melangkah ke fasa kedua, Najib perlu menjana kefahaman rakyat menerusi pelaksanaan secara total kerana yang akan dinilai selepas ini bukan lagi sama ada masyarakat sedar dan tahu kewujudan gagasan besar beliau, tetapi mereka akan mula mempertimbang perancangan dalam bentuk pelaksanaan. Pada tahap ketiga, keyakinan akan dinilai melalui pencapaian akhir daripada pelaksanaan kesemua dasar, aktiviti, program, pengubahsuaian dan penambahbaikan daripada kejayaan mendekati kumpulan sasar yang berbeza.
Justeru, dalam fasa kedua pentadbiran beliau ini, Najib memerlukan satu pasukan yang mantap. Pasukan ini bukan sahaja tahu dan faham kesemua gagasan agenda beliau tetapi lebih daripada itu, bersedia menjadi 'jurucakap' dan menggarap nilai sebenar di sebalik kesemua gagasannya. Mereka boleh menjadi 'penggempur' dan bukan 'musuh dalam selimut' yang bersifat defensif tetapi menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan dan parti yang sudah melalui revolusi untuk perubahan tingkah laku mempertahankan dan agresif bagi menghentikan desas-desus wujudnya kumpulan yang masih keliru dan tidak faham dengan agenda Najib.
Walaupun faktor Najib menjadi penentu BN, pasukan yang cekap dan efektif perlu sebagai tulang belakang kepimpinan beliau. Rombakan Kabinet yang akan dilakukan perlu mengambil kira kepentingan ini untuk memudahkan tata kerja beliau.
Hari ini, rakyat bukan lagi dahagakan pembangunan ataupun bersedia untuk menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi atau mahu menunjukkan rasa terima kasih kepada parti dan pemimpin.
Pola pengundian dalam kalangan pengundi hari ini banyak berpusatkan kepada dua elemen iaitu 'hak' dan 'tanggungjawab'. Mereka mahu pemimpin yang menunjukkan nilai kepimpinan dengan mempertahankan hak mereka sebagai warga selaras dengan kedudukan dalam Perlembagaan dan pada waktu yang sama, bertanggungjawab demi kepentingan kebajikan masyarakat.
Rakyat mahu nilai sekuriti diberi kepentingan, nilai keselamatan yang merentasi politik, ekonomi dan sosial. Jika pemimpin yang sebati dengan karakter ini diberi peluang, nescaya Najib tidak dilihat keseorangan. Menggembleng tenaga seperti ini boleh mempercepatkan proses membina keyakinan rakyat.
Dalam liberalisasi Najib, ada keterbatasan. Dalam transformasi Najib, ada ikon atau personaliti yang boleh dicontohi. Pentadbiran efektif bercirikan pentadbiran kelas satu di sebuah negara kelas pertama mampu mengubah semula landskap politik tanah air. Ia didokong oleh pentadbiran awam yang bersama dengan kerajaan sedia ada untuk memobilisasi perubahan secara menyeluruh. Pembuat dan yang merangka dasar perlu mengambil kira kepentingan kumpulan sasar. Transformasi yang mahu dibawa perlu difahami oleh staf atau pegawai yang akan berhubung secara langsung dengan kumpulan sasar dan yang penting, kumpulan sasar mesti bersetuju dengan agenda transformasi tersebut jika kejayaan mahu dilihat pada akhir tempoh pelaksanaannya. Ia akan serasi dengan agenda pengurusan politik Najib yang mendengar maklum balas umum dan mengambil beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang.
Walkabout yang dilakukan oleh Najib boleh dilakukan bukan sahaja pemimpin tetapi juga agensi yang terlibat agar one stop centre boleh dibuka di merata tempat terutama di luar bandar untuk menyelesaikan segera masalah lokal agar tidak menunggu sehingga pilihan raya, baru masalah mahu diselesaikan.
Keramahan pemimpin, pelaksana dasar dan pembuat dasar penting untuk memastikan era kepimpinan Najib terus cemerlang. Mereka yang angkuh sudah ditolak dan ini merupakan pengajaran daripada PRU 2008.
Maklum balas secara berterusan mengenai prestasi Yang Berhormat oleh badan bebas boleh membantu bukan sahaja wakil rakyat tersebut tetapi juga untuk mempertingkatkan perkhidmatan mereka.
Faktor Najib telah mendominasi kancah politik tanah air kebelakangan ini. Momentum sokongan ini penting bukan sahaja untuk memberi motivasi dan sokongan tetapi sejauh mana ia dapat dikekalkan sehingga ke PRU 13 bergantung bukan sahaja kepada Najib tetapi keseluruhan jentera parti dan kerajaan.
Survival BN banyak dipelopori oleh faktor ini dan jika dimobilisasi sepenuhnya, ia mampu meyakinkan rakyat bahawa BN sudah berubah. Dilemanya, apakah BN sudah berubah dan bersedia melakukan perubahan dari semasa ke semasa seiring dengan suntikan faktor Najib?
Faktor Najib telah mengembalikan sokongan penyokong tradisi yang telah melakukan undi protes dalam pilihan raya lalu dan menjadi faktor 'pengantara' untuk pengundi atas pagar dan generasi muda tetapi kesemuanya bergantung kepada motivasi keupayaan secara berterusan untuk membuktikan bahawa ia sudah berubah dengan kecemerlangan kad laporan 1Malaysia, KPI, NKRA, PTK, MEB dan RMK-10.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan