23 Julai 2011

Lakukan berperingkat, hapuskan dulu ketirisan dan kebocoran

JUMLAH subsidi yang mencapai 74 bilion merupakan satu jumlah yang amat besar, namun jika itu merupakan harga yang perlu dibayar oleh pihak kerajaan untuk terus memakmurkan negara apakah ia salah?

Rasanya rakyat akan menerima kaedah pengurangan subsidi secara berperingkat jika kerajaan benar-benar telah, sedang dan akan berusaha keras untuk mengekang ketirisan dan kebocoran subsidi yang berlaku sekarang.

Oleh itu, Datuk Seri Idris Jala perlulah juga berfikir bersama-sama dengan pemikir beliau di dalam makmal bagi menyelesaikan masalah-masalah yang menghapuskan pembaziran subsidi ini daripada terus berlaku.

• Masalah penyeludupan minyak dari negara ke negara asing.
• Masalah penipuan minyak subsidi nelayan.
• Masalah kawalan pembelian minyak oleh kenderaan asing disempadan.
• Apakah kerajaan bersedia untuk melupuskan dahulu subsidi kepada pengendali IPP dan lain-lain konglomerat yang sememangnya tidak layak menerima subsidi ini.
• Kerajaan juga mesti meneliti semula perjanjian konsesi dengan pengendali lebuh raya. Apakah kewajaran kenaikan tol perlu dilakukan? Jika perlu lupus perjanjian yang dilihat 'berat sebelah' yang hanya menguntungkan pengendali lebuh raya.
• Kerajaan perlu memastikan jalan-jalan alternatif yang tersedia benar-benar selamat dan mampu menampung kenderaan yang banyak jika rakyat marhaen menggunakannya kelak.
• Apakah kerajaan bersedia untuk meletakkan harga berbeza bagi pengguna rumah, perniagaan dan industri yang menggunakan gas.
• Apakah kerajaan tidak boleh memiliknegarakan bahan seperti gula, tepung dan minyak masak agar kawalan dapat dilakukan dan dengan sendiri kerajaan akan berkuasa ke atas barangan itu dalam pasaran bagi mengekang kenaikan harga, sorok barang dan penyelewengan stok gudang.
• Apakah kerajaan sudah ada pangkalan data yang lengkap bagi mempastikan rakyat yang benar-benar layak sahaja akan menerima subsidi ini nanti jika pelaksanaannya berlaku.
• Apakah kerajaan sudah menyediakan barisan penguatkuasaan yang benar-benar ikhlas, bersih, amanah, lengkap, canggih dan terkini dalam mengatasi masalah ketirisan subsidi di semua peringkat di seluruh negara.
• Apakah kerajaan berjaya 'mengejutkan' kakitangan kerajaan dalam bertindak agar selari dan menjayakan hasrat murni tersebut.
• Apakah kerajaan sudah bersedia memastikan guna tenaga rakyat dalam negara diaplikasikan secara maksimum dan dalam masa yang sama mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
• Apakah strategi yang berkesan dalam menarik minat rakyat untuk turut serta memenuhi sektor pekerjaan yang selama ini dikuasai oleh warga asing.
• Apakah galakan dan tindakan yang perlu diberikan kepada majikan agar mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta mula melatih dan mengunjurkan keperluan tenaga dalam setiap sektor kerajaan dan swasta.
• Kerajaan juga perlu memastikan penerokaan kepada ruang penghasilan baru sama ada dari sudut bahan asas atau sumber asli, bahan pengilangan ataupun teknologi agar lebih setengah juta mahasiswa yang keluar dari universiti dan pengajian tinggi dapat terarah untuk menabur bakti.
• Kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang mencapai lebih 17 bilion setahun dengan memastikan stok makanan negara benar-benar mencukupi dan dasar makanan negara benar-benar berada mengikuti pelan pembangunannya.
• Kerajaan juga kena memastikan urus tadbir korporat di GLC berjalan dengan baik dan terurus dan jauh dari unsur skandal.
• Kerajaan kena membentuk pasukan media yang benar-benar cekap dan berkesan dalam menerangkan akan hala tuju dan dasar negara benar-benar sampai dan difahami oleh rakyat.
• Kerajaan kena peka kepada sensitiviti semasa dalam mengatur urus isu seperti mana sekarang.
Rasanya Idris Jala dan pasukannya perlu terus duduk dalam makmal siang, malam, pagi, petang bagi memastikan kesemua persoalan di atas dijawab dengan berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan