23 Julai 2011

DAP bukan parti demokratik



Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukanlah parti yang demokratik seperti namanya kerana ia dikuasai oleh satu keluarga yang terdiri daripada bapa, anak dan menantu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, walaupun mereka menuduh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan tetapi dalam parti itu sendiri bapa pernah menjadi ketua pembangkang, anak menjadi setiausaha agung dan menantu menjadi pemimpin kanan.
"Mana ada parti macam ini.., BN tidak seperti itu. DAP walaupun belum berkuasa tetapi anak-beranak sudah menguasai parti dan kalau tidak menyokong bapa, anak atau menantu itu, mereka akan kena buang.
"Ini parti berkuku besi, parti BN lebih demokratik daripada DAP," kata Najib sambil menambah parti itu dengan gabungan rakan-rakan pembangkang akan terus melakukan pembohongan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.
Najib berkata demikian semasa berucap ketika melawat Rumah Panjang Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai dekat sini hari ini.
Sejak penubuhan DAP pada 1966, struktur kepimpinan tertinggi DAP tidak berubah dengan diterajui Lim Kit Siang dan kemudian anaknya, Lim Guan Eng.
Ketika ini, Kit Siang merupakan Penasihat DAP dan Guan Eng pula Setiausaha Agung. Isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng adalah Naib Pengerusi Wanita DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana di Melaka.
Pengerusi DAP ketika ini ialah Karpal Singh dan dua anaknya, Gobind Singh Deo ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong manakala Jagdeep Singh Deo pula Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Datuk Keramat.
Perdana Menteri menjelaskan penduduk Sibu tidak harus mendengar dakyah DAP yang kini membawa pelbagai isu di rumah-rumah panjang di kawasan Parlimen ini untuk berkempen dalam pilihan raya.
"Dalam pilihan raya, kita harus memilih siapa yang boleh diletakkan harapan dan dapat mengubah nasib kita di masa depan, dan bukannya mendengar isu-isu yang tiada kaitan dengan kehidupan kita," kata Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan