-A. AZIZ DERAMAN
Tirai tahun 2010 telah pun dilabuhkan. Malaysia berada di pentas dunia dengan cukup bergaya. Di sana sini ada banyak peristiwa suka duka manusia dan alam. Manusia tidak habis-habis bertelingkah. Percikan api permusuhan mulai membesar di Semenanjung Korea. China bangun menjadi ‘musuh’ baru saingan ekonomi Amerika Syarikat. Dalam tenang, China berlangkah tekun tanpa mengganggu urusan dalaman negara lain. Ekonomi India juga ikut membesar.
Asia sedang berubah dan akan memukau Amerika dan Eropah. Tahun 2010 menyaksikan bencana alam, ada letupan gunung berapi, gempa bumi, banjir besar, kemarau panjang, kebakaran hutan, salji turun luar biasa, tsunami, penderitaan dan sebagainya. Peristiwa suka-duka itu tidak terkecuali bagi Malaysia. Kita duka kerana di Malaysia ada jebak-jebak jenayah berprofil tinggi, pembunuhan, rompakan bersenjata, ada pemimpin politik yang terus menerus menghina negara sendiri. Ada sifat-sifat kederhakaan dan kerendahan moral. Tetapi ‘biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya’.
Ya, Malaysia cukup bergaya ketika tirai 2010 dilabuhkan. Skuad ‘Harimau Malaya’, pasukan bola kebangsaan kita menggembirakan setiap warga Malaysia. Kebanggaan dirasakan pemimpin tertinggi sampai ke rakyat jelata. Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib sangat berbangga, lalu beliau menghadiahkan satu hari cuti. Syabas dan tahniah atas kejayaan menundukkan ‘Garuda Indonesia’ dengan agregat 4-2. Kemarau 14 tahun dan kerinduan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 telah terubat pada malam 29 Disember. Kemenangan itu dilakukan di Jakarta di depan puluhan ribu penyokong Indonesia. Kemenangan itu mengukuhkan lagi jiwa satu bangsa Malaysia. Itulah semangat kesatuan yang jitu, patriotisme dan daya juang tinggi. Itulah yang kita mahukan.
Di dunia ini tidak ada orang tidak berbangsa dan bernegara. Orang pelarian pun bangga dengan bangsa dan negara mereka, meskipun terpaksa bernaung dan mengharapkan pertolongan UNCHR. Lihat nasib yang dialami orang Myanmar di Malaysia atau keturunan Rohingya. Pelarian rakyat Zimbabwe ke Afrika Selatan, sanggup dengan anak beranak menyeberangi sempadan, tanpa dokumen yang sah, sedia berdepan dengan risiko demi sebuah kehidupan yang terjamin. Di Malaysia pun, ribuan orang dari negara-negara jiran menjadi pendatang tanpa izin, rela terkorban karam di Selat Melaka, demi sesuap nasi. Di negara asal kehidupan mereka itu lebih daif, tidak ada peluang pekerjaan, tiada latihan kemahiran diberikan, tiada peluang pendidikan, dibaluti kemiskinan kota dan desa.
Apakah kita masih belum mensyukuri kehidupan kita bernegara?. Apakah kita tidak bangga menjadi milik kepada satu-satu bangsa. Orang Melayu ada bangsa Melayunya, orang Cina ada bangsanya. Orang India, Pakistan, Sri Lanka ada bangsa dan negara asalnya. Apabila nenek moyang bangsa-bangsa tadi memilih untuk menjadi rakyat dan warga negara Malaysia, maka mereka kini ‘berkebangsaankan’ Malaysia. Ras asal mereka tetap kekal. Bumi baharu yang mereka pijak, langit baharu yang mereka junjung adalah bumi Malaysia. Negara China atau India bukan lagi negara mereka. Cuma kini keutamaan kepentingan berbangsa dan bernegara itu, kebanggaan, ketaatsetiaan politik dan hidup mati kerana Malaysia. Mereka mesti bangga berbangsa Malaysia dan bernegarakan Malaysia, merasai kehebatannya.
Anehnya, mungkin kerana geram atau dendam perkauman dan politik, sudah ada orang tanpa segan silu mahu menolak institusi raja, agama negara, bahasa negara dan rancangan yang adil untuk membantu kehidupan masyarakat yang daif khususnya Melayu dan bumiputera.
Anehnya juga, sudah ada orang tidak bangga akan bangsanya, sebagai bangsa Melayu. Kadang-kadang mengajak orang berdoa agar Allah SWT memusnahkan seseorang pemimpin tertentu. Penulis memang pelik dengan orang tidak bangga jadi Melayu, kalau dia itu berdarah Melayu. Cina Malaysia pun sangat bangga kerana etniknya. Cuba lihat Israel, Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Itali. Rakyatnya amat bangga dengan bangsa mereka. Bangsa Indonesia dan Thailand pun sangat menyayangi bangsa dan negara mereka. Amerika atau Australia sahaja tidak ada bangsa. Warganya adalah kaum pendatang dan masih mahu dikenali dengan nama bangsa asal. Israel pula bangga kerana Tuhan telah menganugerahkan mereka para anbia. Israel sangat menyanjung sejarah sendiri. Orang Palestin pun ada bangsanya. Orang Arab pun bangga akan bangsanya yang disatukan oleh satu bahasa.
Apabila Melayu tidak bangga jadi Melayu, maka Melayu itu sudah lupa akan peranan bijak pandai bangsanya zaman berzaman. Mereka tidak bangga dengan persuratan Melayu, tidak berbangga dengan peranan para ulama dan tokoh pemikir besar seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh Samsuddin al-Sumatrani, Syeikh Ahmad Patani, Syeikh Daud Fatani, Tokku Tuan Besar, Tuk Kenali, Syekh Abdul Samad al-Palembani, Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, bahkan ratusan ulama lain tersohor di Alam Melayu. Kita juga mungkin tidak berasa bangga dengan legenda bangsa seperti Hang Tuah lima bersaudara, Sultan Mansor Shah, Tun Perak, dan nama-nama besar lain yang berjasa; tidak bangga akan para ilmuan dan pengarang silam seperti Tun Sri Lanang, Abdullah Munshi, Syed Sheikh al-Hadi, Raja Ali Haji, Za’ba, Hamka atau tokoh-tokoh penentang kolonial seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tuk Janggut dan tokoh-tokoh moden Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin al Helmy, dan banyak lagi yang berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air.
Malang sungguh kalau ada antara kita tidak bangga menjadi Melayu, sedangkan Allah SWT seperti firmannya sudah menjadikan manusia itu lelaki perempuan dan berbangsa-bangsa agar kita kenal mengenali antara satu sama lain.
Kalau kita tidak bangga menjadi Melayu, maknanya kita menolak sejarah keagungan bangsa sendiri. Kita hilang kebanggaan terhadap kegemilangan sebuah Sriwijaya, keagungan Empayar Melayu-Islam Melaka, kesultanan Kelantan-Patani, Johor Riau, Aceh dan sebagainya. Singapura bangga dengan sejarah moden mereka, apabila sejarahnya berjaya ditukarkan, diputuskan hubungan dengan Melayunya. Sejarah Singapura moden hanya dimulakan pada tahun 1819, tahun kolonial Inggeris bertapak. Sedangkan asal Singapura itu hak milik pemerintahan dan ketuanan kesultanan Melayu Johor. Sejarah nama Singapura dari sempena nama singa atau peranan Sang Nila Utama sudah dipadamkan. Ingat, kebanggaan kita berbangsa dan bernegara, tidak sama dengan kebanggaan Israel. Juga tidak seperti ketaksuban bangsa Arab kepada kabilah sendiri. Israel merampas hak orang, meruntuhkan negara orang, dan hak orang dikatakan hak sendiri. Sejarah akan berubah jika kita mengubah persepsinya dan kita tidak berusaha mengangkatkan peradaban sendiri.
Orang yang tidak bangga berbangsa Melayu itu mungkin bimbang dengan istilah ketaksuban. Kita patut gunakan istilah itu dalam konteksnya yang luas, sebagaimana tafsiran Ibn Khaldun.
Keterbukaan dan sifat akomodatif Melayu sejak berabad-abad lamanya yang sentiasa cintai kedamaian, ada prinsip-prinsip penerimaannya. Lihat bagaimana Selat Melaka itu mengakibatkan munculnya sifat kosmopolitan, kehidupan kota asal pelabuhan, seperti pelabuhan Melaka, Singapura dan Pulau Pinang atau kota-kota maritim yang lain di Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam.
Kebanggaan berbangsa dan bernegara tidak sama dengan ketaksuban atau al-asabiyyah terhadap bangsa sendiri. Bangsa Melayu tahu sempadannya dan mereka tahu bahawa kemajuan bangsa akan mendorongkan kemajuan kepada Islam, agama yang mereka anuti.
Dirantau dunia Melayu, ada istilah bangsa serumpun Melayu sebab ada asas-asas kesatuan yang sama. Ras Melayu atau bangsa besar Melayu itu terbahagi-bahagi kepada kepelbagaian suku bangsa. Kalau Tanah Melayu itu negara induk bangsa Melayu, maka suku bangsa serumpun Melayu yang lain itu adalah suku Minang, Batak, Aceh, Jawa, Banjar, Bugis, Sunda atau sukuan di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Kadzandusun, Bajau, Melanau, Murut dan puluhan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan