MANUSIA sememangnya selalu tidak berasa puas dengan apa yang dimiliki. Ketamakan dan tidak puas dengan yang ada adalah ciri watak dalaman manusia. Rasulullah saw bersabda, “Jika anak Adam (manusia) memiliki dua lembah emas, nescaya dia akan mencari lembah yang ketiga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Inilah gambaran naluri manusia yang suka harta kekayaan dan sentiasa tidak puas dengan apa yang sudah dikurniakan Allah. Sikap tamak pada harta kekayaan akan mendatangkan kesan negatif jika tidak dikawal dengan sempurna. Antara gejala yang akan menyusul apabila wujudnya sikap tamak itu ialah:
• Sifat Bakhil dan kedekut.
Disebabkan terlalu sayang pada harta yang dimiliki dan ingin menguasai yang lain, maka hati menjadi keras untuk menyalurkannya pada jalan yang diredai Allah. Inilah antara sifat mazmumah yang bukan saja merosakkan diri seseorang, malah membawa kemudaratan besar kepada ummah seluruhnya. Kemudaratan itu mungkin tidak disedari tetapi apabila sampai kemuncaknya barulah kita menyedari betapa buruknya sifat yang dibenci Allah ini sebagai seorang hamba, sepatutnya kita menanyakan diri sendiri. Layakkah kita bersikap tamak dan kedekut dengan apa yang kita miliki sedang ia anugerah Allah dan kita hanya sebagai pemegang amanah. Seseorang itu perlu insaf bahawa kita hanya pengembara dan perantau di bumi Allah dan akan kembali kepada-Nya dengan membawa bekalan apa yang telah kita usahakan yang berupa amal ibadah dan amal kebajikan. Oleh itu jangan kita tamak dan bakhil dengan harta yang dimiliki. Jangan sesekali kita takbur dan sombong dengan semua yang dimiliki hatta iman sekalipun.
• Bangga diri.
Apabila hati dan perasaan berasa sudah memiliki harta melebihi daripada orang lain akan timbullah sifat bangga diri. Berasa diri lebih utama daripada orang lain. Inilah sifat tercela yang sangat dibenci Allah kerana sifat itu sudah terpahat di sanubari seseorang itu akan memadamkan cahaya mata hati dan merosakkan amal soleh. Umar al Khattab r.a menyatakan, “Sesungguhnya kesempurnaan taubatmu bila engkau ingat selalu pada dosamu, kesempurnaan amalmu harus menghindarkan ujub dan kesempurnaan syukur ialah menyedari kekuranganmu.”
• Boleh menjerumuskan manusia kepada maksiat.
Orang yang tamak harta dan berasa mampu boleh mendorong kepada perlakuan maksiat kerana harta benda termasuk kekuatan yang dapat menggerakkan keinginan melakukan sesuatu yang di luar batas agama. Tetapi, jika seseorang itu memiliki rasa benci terhadap maksiat lantaran jiwa dan hati berasa takut kepada Allah, maka harta banyak yang dimilikinya akan menjadi wadah untuk menjana pahala dan amal soleh yang diberkati. Namun, perlu diinsafi ujian kekayaan itu pengaruhnya lebih besar dan menjadi terlalu sulit untuk ditangani daripada ujian kemiskinan.
• Boleh memalingkan pemiliknya daripada mengingati Allah.
Seseorang yang keterlaluan dalam mencari harta kekayaan boleh menyebabkan diri lalai daripada mengingati Allah. Disebabkan terlalu asyik dengan usaha dan begitu tamak dengan kebendaan akan menghakis masa untuk melakukan ibadah. Mungkin ibadah wajib saja yang dilakukan, sebaliknya ibadah sunat lain ditinggalkan lantaran kesuntukan masa dan perlu untuk dimaksimumkan bagi tujuan mencari kekayaan. Jika hal ini terjadi amat malang orang itu kerana telah menjadi ‘hamba dunia’. Ingatlah pesan Rasulullah yang bermaksud, “Beruntunglah orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki cukup dan kepuasan dengan apa yang diberikan Allah kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim) Abu Hazim pernah berkata, “Ada tiga perkara yang dapat menyempurnakan orang yang memilikinya iaitu: Tahu diri, menjaga lisan dan puas dengan pemberian Tuhannya.”
• Boleh memutuskan silaturahim sesama umat Islam.
Hati yang sentiasa dipenuhi sikap tamak boleh mengakibatkan seseorang itu berusaha mengumpul harta kekayaan tanpa mempertimbangkan kepentingan hubungan sosial sesama ummah. Hal sedemikian amat ditentang dalam Islam kerana tali hubungan sesama umat adalah elemen utama dalam pembinaan masyarakat bertamadun dan beragama. Justeru, Islam menekankan agar umatnya sentiasa memandang perkara hubungan sesama umat sebagai aspek yang penting. Dengan kata lain, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Demikian juga masyarakat Islam sewajarnya mengukuhkan ikatan ukhuwah secara mantap dengan pemberian amal jariah dalam bentuk sedekah. Ini untuk mengikis sifat bakhil dalam diri orang Islam, sekali gus menjana ikatan ummah yang bersatu. Ummah yang saling bantu membantu seperti aur dengan tebing akan menjernihkan suasana dalam masyarakat yang terikat dalam kesepaduan agama yang utuh. Sebenarnya harta kekayaan itu bukan sesuatu yang tercela bahkan terpuji dan perlu dicari, asalkan dengan kaedah yang menepati kehendak dan tuntutan agama.
Firman Allah dalam Surah An-Nisaa ayat 5 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (daripada hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.” Di sini harta itu sebagai pokok kehidupan yang dapat menghantar manusia mencapai kehendak agama dan kehidupan duniawi secara seimbang. Justeru, harta itu memiliki dua manfaat, iaitu manfaat dunia dan manfaat agama.
Jika seseorang itu mengikuti alur garis panduan yang telah ditetapkan Allah, harta yang banyak menjadikan seseorang dekat kepada Allah dengan menafkahkannya secara betul dan bermanfaat kepada seluruh manusia. Yang tercela dan dibenci Allah ialah sifat tamak pada harta yang menjerumuskan kepada salah laku lain seperti sombong, riak, bakhil dan memutuskan tali silaturahim sesama Islam. Al Muhasibi ada berkata, “Orang yang qana’ah adalah orang kaya, meskipun perutnya lapar, sedangkan orang yang tamak adalah orang miskin, meskipun perutnya kenyang.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan