24 Februari 2010

Harta dan perhiasan sebagai fitnah (ujian)

MANUSIA sememangnya selalu tidak berasa puas dengan apa yang dimiliki. Ketamakan dan tidak puas dengan yang ada adalah ciri watak dalaman manusia. Rasulullah saw bersabda, “Jika anak Adam (manusia) memiliki dua lembah emas, nescaya dia akan mencari lembah yang ketiga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Inilah gambaran naluri manusia yang suka harta kekayaan dan sentiasa tidak puas dengan apa yang sudah dikurniakan Allah. Sikap tamak pada harta kekayaan akan mendatangkan kesan negatif jika tidak dikawal dengan sempurna. Antara gejala yang akan menyusul apabila wujudnya sikap tamak itu ialah:
Sifat Bakhil dan kedekut.

Disebabkan terlalu sayang pada harta yang dimiliki dan ingin menguasai yang lain, maka hati menjadi keras untuk menyalurkannya pada jalan yang diredai Allah. Inilah antara sifat mazmumah yang bukan saja merosakkan diri seseorang, malah membawa kemudaratan besar kepada ummah seluruhnya. Kemudaratan itu mungkin tidak disedari tetapi apabila sampai kemuncaknya barulah kita menyedari betapa buruknya sifat yang dibenci Allah ini sebagai seorang hamba, sepatutnya kita menanyakan diri sendiri. Layakkah kita bersikap tamak dan kedekut dengan apa yang kita miliki sedang ia anugerah Allah dan kita hanya sebagai pemegang amanah. Seseorang itu perlu insaf bahawa kita hanya pengembara dan perantau di bumi Allah dan akan kembali kepada-Nya dengan membawa bekalan apa yang telah kita usahakan yang berupa amal ibadah dan amal kebajikan. Oleh itu jangan kita tamak dan bakhil dengan harta yang dimiliki. Jangan sesekali kita takbur dan sombong dengan semua yang dimiliki hatta iman sekalipun.

Bangga diri.

Apabila hati dan perasaan berasa sudah memiliki harta melebihi daripada orang lain akan timbullah sifat bangga diri. Berasa diri lebih utama daripada orang lain. Inilah sifat tercela yang sangat dibenci Allah kerana sifat itu sudah terpahat di sanubari seseorang itu akan memadamkan cahaya mata hati dan merosakkan amal soleh. Umar al Khattab r.a menyatakan, “Sesungguhnya kesempurnaan taubatmu bila engkau ingat selalu pada dosamu, kesempurnaan amalmu harus menghindarkan ujub dan kesempurnaan syukur ialah menyedari kekuranganmu.”

Boleh menjerumuskan manusia kepada maksiat.

Orang yang tamak harta dan berasa mampu boleh mendorong kepada perlakuan maksiat kerana harta benda termasuk kekuatan yang dapat menggerakkan keinginan melakukan sesuatu yang di luar batas agama. Tetapi, jika seseorang itu memiliki rasa benci terhadap maksiat lantaran jiwa dan hati berasa takut kepada Allah, maka harta banyak yang dimilikinya akan menjadi wadah untuk menjana pahala dan amal soleh yang diberkati. Namun, perlu diinsafi ujian kekayaan itu pengaruhnya lebih besar dan menjadi terlalu sulit untuk ditangani daripada ujian kemiskinan.

• Boleh memalingkan pemiliknya daripada mengingati Allah.

Seseorang yang keterlaluan dalam mencari harta kekayaan boleh menyebabkan diri lalai daripada mengingati Allah. Disebabkan terlalu asyik dengan usaha dan begitu tamak dengan kebendaan akan menghakis masa untuk melakukan ibadah. Mungkin ibadah wajib saja yang dilakukan, sebaliknya ibadah sunat lain ditinggalkan lantaran kesuntukan masa dan perlu untuk dimaksimumkan bagi tujuan mencari kekayaan. Jika hal ini terjadi amat malang orang itu kerana telah menjadi ‘hamba dunia’. Ingatlah pesan Rasulullah yang bermaksud, “Beruntunglah orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki cukup dan kepuasan dengan apa yang diberikan Allah kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim) Abu Hazim pernah berkata, “Ada tiga perkara yang dapat menyempurnakan orang yang memilikinya iaitu: Tahu diri, menjaga lisan dan puas dengan pemberian Tuhannya.”

Boleh memutuskan silaturahim sesama umat Islam.

Hati yang sentiasa dipenuhi sikap tamak boleh mengakibatkan seseorang itu berusaha mengumpul harta kekayaan tanpa mempertimbangkan kepentingan hubungan sosial sesama ummah. Hal sedemikian amat ditentang dalam Islam kerana tali hubungan sesama umat adalah elemen utama dalam pembinaan masyarakat bertamadun dan beragama. Justeru, Islam menekankan agar umatnya sentiasa memandang perkara hubungan sesama umat sebagai aspek yang penting. Dengan kata lain, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Demikian juga masyarakat Islam sewajarnya mengukuhkan ikatan ukhuwah secara mantap dengan pemberian amal jariah dalam bentuk sedekah. Ini untuk mengikis sifat bakhil dalam diri orang Islam, sekali gus menjana ikatan ummah yang bersatu. Ummah yang saling bantu membantu seperti aur dengan tebing akan menjernihkan suasana dalam masyarakat yang terikat dalam kesepaduan agama yang utuh. Sebenarnya harta kekayaan itu bukan sesuatu yang tercela bahkan terpuji dan perlu dicari, asalkan dengan kaedah yang menepati kehendak dan tuntutan agama.

Firman Allah dalam Surah An-Nisaa ayat 5 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (daripada hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.” Di sini harta itu sebagai pokok kehidupan yang dapat menghantar manusia mencapai kehendak agama dan kehidupan duniawi secara seimbang. Justeru, harta itu memiliki dua manfaat, iaitu manfaat dunia dan manfaat agama.

Jika seseorang itu mengikuti alur garis panduan yang telah ditetapkan Allah, harta yang banyak menjadikan seseorang dekat kepada Allah dengan menafkahkannya secara betul dan bermanfaat kepada seluruh manusia. Yang tercela dan dibenci Allah ialah sifat tamak pada harta yang menjerumuskan kepada salah laku lain seperti sombong, riak, bakhil dan memutuskan tali silaturahim sesama Islam. Al Muhasibi ada berkata, “Orang yang qana’ah adalah orang kaya, meskipun perutnya lapar, sedangkan orang yang tamak adalah orang miskin, meskipun perutnya kenyang.’

Maksiat: melemahkan kekuatan hati




MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.

Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.

Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”
# Rezeki tidak lancar

Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.”

Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.
# Keterasingan antara Allah

Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.

Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”
# Keterasingan antara manusia

Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.
# Allah akan menyulitkan urusannya

Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.
# Kegelapan dalam hati

Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.
# Maksiat melemahkan kekuatan hati
Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.
# Malas mengerjakan ibadat

Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.
# Terbiasa berbuat dosa

Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengekang ilmu hitam atau sihir


Pagar Pertama (1)
Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:
"Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".
(Riwayat al Bukhari.)

Pagar Kedua (2)
Berwuduk sebelum tidur.

Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka. Sabda Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.'
(Riwayat at Tabraaniy )

Pagar Ketiga (3)
Mengambil berat tentang solat berjemaah

Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain. Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:Ertinya:
'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.'
(Riwayat Abu Daud ).

Pagar Keempat (4)
Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri dari sihir.

Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya.Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu.Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut. Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:Ertinya:
"Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"
(Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pagar Kelima (5)
Membaca doa perlindungan apabila masuk ke dalam tandas.

Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ketandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan. Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan". (Riwayat al Bukhari dan Muslim.)

Pagar Keenam (6)
Memagar isteri selepas selesai akad nikah
.
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."
(Riwayat Abu Daud ).

Pagar Ketujuh (7)
Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat alKursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap.

Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''. Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil berkata:
"Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri sememangnya penipu."
(Riwayat al Bukhari).

ZINA: perbuatan yang dikutuk Allah




Membuat dosa siang malam tidak kira masa, tempat dan suasana sekeliling. Apa nak jadi dengan masyarakat Islam kini?

Bersolat tetapi berzina. Ketika umat Islam berpuasa dia pula buat kerja terkutuk ini. Sehingga melupakan tanggungjawab sebagai mukmin/mukminat yang beriman.

Perkara ini semacam suatu yang lumrah bagaimana aduan kepada saya seorang ibu yang mengadu mengenai anaknya dan aduan seorang isteri dengan perangai suami yang bermalam dan mengaku berzina dengan pelacur.

Saya masih ingat pesanan guru saya ketika beliau mengajar di sekolah agama dengan katanya, berzina seronok sekejap tetapi derita sampai ke neraka.

Saya ingin berkongsi pengetahuan akibat berzina yang nampaknya sudah menjadi perkara biasa dan semacam tidak ada apa-apa perasaan pada pasangan sama ada remaja, dewasa atau tua.

Percayalah, kalau Allah murka mesti ada azab sama ada azab sementara di dunia dan apa lagi di akhirat.

Akibat buruk dan bahana zina:

1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilanga sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.

Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.

11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.

12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan.

Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya.

Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya?

Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa.


Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya.

Na'udzubillahi min dzaalik.

15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.

16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud?

Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini

Bahana Maksiat


Maksiat Menghalangi Ilmu Pengetahuan
Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Namun, kemaksiatan dalam hati dapat menghalangi dan memadamkan cahaya tersebut. Ketika Imam Malik melihat kecerdasan dan daya hafal Imam Syafi'e yang luarbiasa, beliau (Imam Malik) berkata, "Aku melihat Allah telah menyiratkan cahaya di dalam hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat".

Maksiat mengahalangi Rezeki
Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkannya bererti menimbulkan kefakiran. "Seorang hamba dicegah dari rezeki akibat dosa yang diperbuatnya". (HR Ahmad)

Maksiat Menimbulkan Jarak dengan Allah
Diriwayatkan ada seorang lelaki yang mengeluh kepada seorang arif tentang kesunyian jiwanya. Sang arif berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa-dosa, maka tinggalkanlah (perbuatan dosa itu). Dalam hati kita, tak ada perkara yang lebih pahit daripada kegersangan dosa di atas dosa".

Maksiat Menjauhkan Pelakunya dengan Orang Lain
Maksiat menjauhkan pelakunya dari orang lain, terutama dari golongan yang baik. Semakin berat tekanannya, maka semakin jauh pula jaraknya hingga berbagai manfaat dari orang yang baik terhalangi. Kesunyian dan kegersangan ini semakin menguat hingga berpengaruh pada hubungan dengan keluarga, anak-anak dan hati nuraninya sendiri. Seorang salaf berkata, "Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang(kenderaan) dan isteriku".

Maksiat Menyulitkan Urusan
Jika ketakwaan dapat memudahkan segala urusan, maka pelaku maksiat akan menghadapi kesulitan dalam menghadapi segala urusannya.

Maksiat menggelapkan hati
Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap-gulita. Ibnu Abbas RA berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk".

Maksiat Melemahkan Hati dan Badan
Kekuatan seorang mukmin terpancar dari kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat maka kuatlah badannya. Tapi bagi pelaku maksiat, meskipun badannya kuat, sesungguhnya dia sangat lemah jika kekuatan itu sedang dia perlukan, hingga kekuatan pada dirinya sering menipu dirinya sendiri. Lihatlah bagaimana kekuatan fizik dan hati kaum muslimin yang telah mengalahkan kekuatan fizik bangsa Persia dan Romawi.

Maksiat Menghalangi Ketaatan
Orang yang melakukan dosa dan maksiat akan cenderung untuk memutuskan ketaatan. Seperti selayaknya orang yang satu kali makan tetapi mangalami sakit berkepanjangan dan menghalanginya dari memakan makanan lain yang lebih baik.

Maksiat Memendekkan Umur dan Menghapus Keberkahan
Pada dasarnya umur manusia dihitung dari masa hidupnya. Sementara itu tak ada yang namanya hidup kecuaki jika kehidupan itu dihabiskan dengan ketaatan, ibadah, cinta dan zikir kepada Allah serta mementingkan keredhaanNya.

Maksiat Menumbuhkan Maksiat Lain
Seorang ulama salaf berkata bahawa jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorong dia untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi si pelaku.

Maksiat Mematikan Bisikan Hati Nurani
Maksiat dapat melemahkan hati dari kebaikan dan sebaliknya akan menguatkan kehendak untuk berbuat maksiat yang lain. Maksiat pun dapat memutuskan keinginan untuk bertaubat.

Nak pilih isteri macam mana?


1. Kalau bakal isteri seorang guru. Alamatnya, kat rumah akan bising kot. Mana taknya, dilayan kita macam anak murid. “Kamu, jangan baca suratkhabar. Sila ke dapur untuk membantu saya!”. Dengan suara yang kuat. Ya, aku perasan, ramai cikgu yang dah hilang tombol volume suara kat tekak mereka.

2. Kalau bakal isteri seorang pekerja kilang. Waktu malam kita nak tidur pun susah. Mana taknya, dia dok kemas rumah. “Abg, siang saya kerja. Malam nih lah nak kemas rumah segala. Harapkan abg? Hampeh!” Kita plak yang kena! Tapi yang bestnya, tgh malam pun tak yah risau nak cari makanan. Bini tersayang kan ada…

3. Kalau bakal isteri seorang akauntan. Mak aih, segala kewangan perlu dikawal. “Abg, jangan berbelanja lagi sekarang, kita bertahan. Nanti, masa kadar matawang kita tinggi, kita akan berbelanja di Singapura. Juga, pastikan investment untuk hartanah rujuk kepada saya dahulu” Itu ok lagi.. Kalau…. “Tempoh peminjaman duit saya kepada abg sebanyak RM 10, 5 hari lepas belum berbayar. Mengikut kadar bunga yang telah ditetapkan, iaitu 10% kenaikan bagi setiap hari, abg perlu bayar RM 15. Jika tidak, kadar bunga akan semakin bertambah” Tak ke naya?

4. Kalau bakal isteri seorang ahli sukan. Adeh, bila masa kita nak rehat yek? “Abg, baru balik kerja ye. Cepat tukar baju, kita berjogging. Kesihatan perlu dijaga. Setiap minit abg berlari, kalori dibakar adalah bersamaan dengan kalori bagi setiap roti canai yang abg makan” Adeh. Kalau tgh berperang besar. Nak pulak atlit lontar peluru. Agak2nya, sempat tak nak capai kunci kereta larik?

5. Kalau bakal isteri kita suri rumah sepenuh masa. Tak pernah lihat dunia luar sebelum kahwin. Bayangkan kita bawa ke majlis yang menghidangkan makanan itali. “Abg, Leha nak makan murtabak tu..” Merengek, dan kuat. Sedangkan itu lasagna. Belum lagi jerit kat pelayan panggil mintak sos cili. Lagi parah, kalau bawak beg plastik, isi makan yang bersusun kat meja buffet. Kat mana nak letak muka kita ni yekkk…

Pesanan dan nasihat Rasullullah SAW

Nasihat Rasulullah s.a.w. di atas disampaikan kepada sepupu beliau iaitu Abdullah bin Abbas r.a, sedangkan ketika itu Ibnu Abbas masih diambang usia pemuda. Ianya bermaksud supaya ia dapat menggunakan usia muda, kekuatan dan kecergasan yang dimilikinya dengan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi pemuda adalah harapan ummah. Melalui tangan-tangan merekalah tertegaknya dakwah kebenaran dan keadilan. Sedangkan para pendokong kebatilan dan kejahatan sangat berhajat unutk menyesatkan mereka secara bersungguh-sungguh. Oleh itu pemuda amat berhajat kepada petunjuk dan bimbingan yang lebih, agar mereka tetap teguh berhadapan dengan iblis dari kalangan manusia dan jin.

Peliharalah Allah nescaya Allah memeliharamu.
Peliharalah Allah bermaksud berilitizam dengan perintah Allah, menjaga batasan dengan perintah Allah, menjaga batasan Allah, jangan menghampirinya dan jangan melampauinya. Laksanakanlah titah perintahNya dan jangan memandang remeh terhadapnya. Jauhi segala laranganNya dan binalah pendinding di antara diri dengan larangan itu. Maka Allah akan memeliharamu, agamamu dan aqidahmu daripada penyelewengan, menjauhkan dirimu daripada bisikan-bisikan nafsu dan kotoran kesesatan. Allah akan memeliharamu daripada syaitan serta menjagamu dari penganiyaan dan penindasan.

Peliharalah Allah nescaya Allah bersamamu.
Sekiranya kamu menjaga batasan-batasan hukum Allah nescaya Allah akan bersamamu. Allah akan mengawasimu, mengabulkan segala doamu, serta memenuhi segala keperluanmu. Firman Allah:
“Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Mujadilah [58]:7)

Jagalah Allah melalui perjuangan menegakkan agamaNya, maka Allah akan menolongmu memenangkan agama Allah dengan menjadikanmu syahid atau hidup mulia, bukankah kamu mengharapkannya? Sesiapa yang memelihara Allah maka Allah bersamanya, mengawal, membantu, memelihara, menguatkan dan memberi taufiq kepadanya setiap kali dia diselubungi kegelapan dan tertekan dengan suasana.

• Mintalah sesuatu hanya kepada Allah.
Allah sahajalah tempat seorang muslim meminta dalam segala urusannya kerana hanya Dialah yang mampu memberikan kurnia serta segala keperluan hidup makhlukNya. Dialah yang menciptakan alam semesta beserta isinya, maka Dia pulalah yang memilikinya. Alam serta seisinya merupakan kepunyaan Allah, manusia tiada memiliki sesuatu bahagian pun daripadanya. Sepertimana kata-kata hikmah: “Sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, dia tidak mampu untuk memberi”. Mintalah kepada Allah, zat yang tidak jemu memberi. Mintalah daripadaNya, zat yang tidak pernah tertutup pintu pemberianNya. Kerana meminta kepada selain daripadanya adalah kehinaan dan kerendahan. Mintalah hanya kepadaNya dengan penuh harap dan menunduk merendahkan suara, kerana sesungguhnya Dia tidak bisu lagi tuli.

• Mintalah pertolongan daripada Allah.
Meminta pertolongan hanyalah kepada zat yang benar-benar kuat serta berkuasa. Kerana ianya dapat menjamin dan mampu memberikan pertolongan kepada yang memintanya. Seseorang hamba perlu kepada pertolongan dalam setiap urusan sama ada besar atau kecil. Tidak ada yang mampu memberikan pertolongan sedemikian kecuali hanya Allah. Selain daripadanya adalah makhluk yang tidak dapat menolak kemudharatan daripada dirinya sendiri mahupun orang lain, juga tak dapat mendatangkan kemanfaatan termasuklah kepada diri sendiri. Allah adalah zat yang Maha perkasa, yang tidak mungkin dapat ditewaskan oleh sesiapa sahaja. Sesiapa yang meminta pertolongan kepada selain daripada Allah adalah kehinaan dan kelemahan. FirmanNya:
“Jika engkau menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu”
(Surah Muhammad [47]:7)

• Bertawakal kepada Allah.
Seorang mukmin mestilah meyakini bahawa kebaikan dan bencana merupakan ketetapan Allah. Oleh itu ianya tidak akan mempedulikan hasil rancangan yang diatur dan dilakukan oleh makhluk, kerana sebarang kemanfaatan dan kemudharatan adalah tertakluk kepada kehendakNya. Makhluk, termasuk manusia hanyalah menjadi sebab untuk mereka mendapat balasan baik atau azab. Oleh itu berserah dirilah hanya kepada Allah. Tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sebarang kesusahan yang tidak ditetapkan oleh Allah atasmu, bahkan Allah akan melindungimu daripadanya. Begitu juga tiada seorang manusia pun yang dapat memperdayamu dengan memberikan sebarang manfaat, apa yang diingininya itu tidak mungkin terlaksana sekiranya Allah tidak mengkehendakinya. Allah berfirman:
“Tidak ada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis di dalam kitab (lauh Mahfudz)”
(Surah al-Hadid [57]:22)

Bertawakallah, kerana tawakal akan melahirkan iman yang mantap untuk mempercayai qadha’ dan qadar Allah. Tawakal bukanlah menyerah kalah dengan nasib, tetapi tawakal adalah beramal dan melakukan ikhtiar bagi menjalankan perintah-perintah Allah serta menghadapi cabaran dari musuh-musuh Allah.

• Masuklah ke dalam Islam secara kaffah.
Masuklah ke dalam Islam dengan pemahaman yang benar dan menyeluruh. Tidak diturunkan Islam oleh Allah kecuali sudah sempurna sepertimana yang dibawakan oleh Rasulullah. Ikuti Islam sepertimana yang diajarkan oleh Rasul s.a.w. tanpa menambah dan mengurangi, kerana ianya telah lengkap dan sempurna. Telah diangkat pena dan telah habis lembaran-lembaran. Firman Allah:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan telah Aku sempurnakan atasmu nikmatKu dan Aku redha kepadamu Islam sebagai agamamu”
(Surah al-Maidah [5]:3)

Islam adalah ajaran yang telah lengkap dalam berbagai-bagai sendi kehidupan. Oleh itu jadikanlah ia sebagai kayu ukur dalam menempuh bahtera hidup, nescaya kamu akan selamat. Perintah Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya”
(Surah al-Baqarah [2]:208 )

PERINGATAN LUQMAN AL-HAKIM PADA PUTRANYA...

"Wahai anakku. Aku sudah merasakan segala benda-benda yang pahit, tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan.

"Wahai anakku! Apabila perutmu penuh dengan makanan (kenyang) maka akan matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan menjadi malas untuk melakukan ibadah dan akan hilanglah kebersihan hati dan kehalusannya, di mana hati yang bersih itu hanya akan tercapai dengan kelazatan bermunajat (mengadap Allah) dan manfaat berfikir (ingat kepada Allah)"

"Wahai anakku! Kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak kamu akan memetik buahnya dan kamu akan menikmatinya."

"Wahai anakku! Kamu ikutlah ketika orang membawa jenazah, dan janganlah kamu mengikuti jamuan perkahwinan. Kerana jenazah itu dapat mengingatkan engkau akan kesudahan dari hidupmu di dunia yang fana ini. Sementara majlis perkahwinan akan membangkitkan nafsu berahimu dan ini akan membuat kamu merasa bahawa senang dengan kehidupan dunia."

"Wahai anakku. Aku sudah memikul batu-batu yang besar. Aku juga sudah mengangkat besi-besi berat. Tetapi aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya."

"Wahai anakku. Aku sudah merasakan segala benda-benda yang pahit, tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan."

"Wahai anakku. Aku sudah pernah mengalami penderitaan dan bermacam-macam kesusahan dan kepayahan, tetapi aku belum pernah mengalami penderitaan yang lebih susah dan lebih payah dari menanggung hutang."

"Wahai anakku! Sepanjang hidupku. Aku hanya dapat memilih 8 kalimah dari pusaka para nabi yang lalu, sabda mereka :

** Apabila engkau mengerjakan sembahyang dan beribadah kepada Allah, maka jagalah baik-baik fikiranmu.

** Apabila engkau berada di rumah orang lain, hendaklah kamu menjaga matamu (pandangan matamu).

** Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis, hendaklah kamu menjaga lidahmu (perkataanmu).
** Apabila engkau hadir dalam jamuan makan, hendaklah kamu menjaga perangaimu.

** Ingatlah kepada Allah s.w.t.

** Ingatlah akan mati.

** Lupakanlah budi baikmu terhadap orang lain.

** Lupakanlah semua kesalahan orang terhadap dirimu.

Sesungguhnya anak-anak adalah aset bagi ibu bapa. Anak-anak adalah anugerah dari ALLAH untuk ibu bapa dan menjadi kekuatan dan kehidupan sebuah keluarga.

05 Februari 2010

HUKUM LIWAT DAN KEKEJIAN



Hukum Liwat

Liwat ialah persetubuhan yang dilakukan dengan memasukkan zakar atau qadarnya ke dalam dubur lelaki atau perempuan yang bukan isteri sendiri. Perbuatan liwat adalah sangat kotor dan terkutuk. Dinamakan liwat kerana perbuatan keji ini dilakukan dengan berleluasa di zaman Nabi Lut. Kaum Nabi Lut sangat gemar melakukan perbuatan yang keji ini.

Di antara ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. yang mengutuk perbuatan liwat ini, ialah :

1. Firman Tuhan :

Ertinya :
Patutkah kamu mendatangi lelaki di antara isi alam. Dan kamu tinggalkan isteri-isteri kamu yang Tuhan kamu jadikan untuk kamu ? Bahkan kamu kaun yang melampaui batas.

2. Sabda Rasulullah s.a.w. :

Ertinya :
Apabila mendatangi lelaki akan lelaki, maka kedua-duanya penzina.

3. Sabda Rasulullah s.a.w. :

Ertinya :
Barang siapa yang kamu dapatinya sedang melakukan perbuatan kaum Liwat, maka hendaklah kamu bunuh yang melakukan dan kena lakukan. Pada suatu riwayat ”Maka hendaklah kamu rejamkan yang di atas dan yang di bawah.”

Hukum Perbuatan Liwat

Hukum yang dikenakan ke atas orang-orang yang melakukan liwat adalah seperti berikut:

1. Yang asahnya wajib direjam ke atas yang meliwat jika ia muhsan; disebat dan dibuang daerah jika bukan muhsan. Adapun yang kena liwat, wajib disebat dan dibuang daerah sama ada muhsan ataupun bukan muhsan.

2. Ada pula berpendapat yang mengatakan, dibunuh sama ada muhsan ataupun bukan muhsan. Cara membunuhnya ialah dengan pedang ; ada yang mengatakan dengan direjam. Ada pula yang mengatakan diruntuhkan dinding ke atasnya atau dicampakkannya dari tempat yang tinggi hingga ia mati.


Liwat Terhadap Isteri

Jika melakukan liwat terhadap isteri sendiri atau hamba perempuan dengan berulang kali, hukumnya ditakzirkan. Jika tidak berulang kali, tidak dikenakan takzir.


Hukum Bercumbu-cumbuan (Romance)

Barang siapa bercumbu-cumbuan iaitu berlazat-lazatan selain daripada bersetubuh dengan perempuan yang bukan isterinya, seperti gisil menggisil di antara dua paha, berpeluk cium dan sebagainya, hukumnya ditakzirkan dengan sesuatu yang di pandang patut oleh pihak yang berkuasa seperti memukulnya, menamparnya, mempenjarakannya, mencorengkan mukanya atau sebagainya. Harus bagi pihak yang berkuasa mempelbagaikan hukuman-hukuman ini ke atasnya atau mengurangkannya. Dan tidak harus bagi pihak yang berkuasa mengenakan takzir itu sampai kepada minimal (serendah-rendah) had, yakni jika mengenakan takzir ke atas hamba abdi wajib dikurangkan daripada dua puluh kali pukul kerana dua puluh kali pukul adalah sekurang-kurang had bagi hamba; dan jika orang yang merdeka, wajib dikurangkan daripada empat puluh kali pukul kerana empat puluh kali pukul itu adalah minimal had bagi yang merdeka.


Berhubung Jenis Sesama Perempuan

Melakukan perhubungan jenis sesama perempuan juga haram. Pelaku-pelakunya itu wajib ditakzirkan. Dosanya sama dengan dosa berzina, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. “

Ertinya :
Apabila perempuan mendatangi perempuan, maka kedua-duanya itu penzina.


Menyetubuhi Binatang

Menyetubuhi Binatang adalah haram. Siapa-siapa yang melakukannya berdosa besar. Terdapat perselisihan pendapat tentang hukum yang dikenakan ke atas pelakunya, iaitu seperti berikut :

1. Ada yang mengatakan hukumnya sama dengan hukum berzina, iaitu direjam ke atas muhsan ; dan disebat dan dibuang daerah ke atas yang bukan muhsan.

2. Ada yang mengatakan wajib dibunuh sama ada muhsan ataupun bukan muhsan berdasarkan sabd Rasulullah s.a.w. :

Ertinya :
Barang siapa mendatangi binatang, maka hendaklah kamu membunuhnya dan membunuh binatang itu bersama-samanya.

3. Ada yang mengatakan : hanya wajib ditakzirkan sahaja berdasarkan kepada perkataan Ibnu Abbas r.a. :

Ertinya :
Tidak dikenakan had ke atas orang yang mendatangi binatang.

Mengenai binatang yang dilakukan itu, terdapat perselisihan : yang asahnya tidak disembelihkan, ada yang mengatakan disembelihkan, jika binatang yang halal dimakan ; dan ada yang mengatakan disembelih sama ada binatang yang dimakan ataupun tidak.

04 Februari 2010

Sijil Permata

REDHA HADAPI UJIAN ALLAH

Allah s.w.t. telah menegaskan bahawa semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya, termasuk orang yang kita cintai, harta benda yang ditakuti akan berkurang dan hilang kerana bencana banjir, atau pangkat, jawatan, kedudukan, kerjaya dan lain-lain.
Oleh kerana semuanya milik Allah, cepat atau lambat pasti akan kembali kepada pemiliknya yang asli iaitu Allah Rabbul Izzati.
Ada pun diri kita hanyalah sekadar pemegang amanah untuk menjaganya atau memeliharanya. Sebagai pemegang amanah, sudah semestinya harus menjalankan amanah itu dengan sebaik-baiknya agar pemberi amanah senang bahawa kita boleh mempertanggungjawabkannya dengan baik dan benar.
Oleh kerana bencana itu kekuasaan Allah secara mutlak, sedangkan Allah tidak pernah zalim kepada makhluk ciptaan-Nya, maka di sebalik bencana, musibah seperti banjir, gempa bumi atau malapetaka alam lain, terdapat banyak hikmah bagi para hamba-Nya yang beriman.
Secara lahiriah kematian yang berlaku akibat banjir besar di mana-mana muka bumi ini, kelihatannya sangat menyayat hati. Akan tetapi, tidak semua yang kelihatan itu benar-benar menyakitkan kerana kemungkinan hal itu merupakan ketentuan terbaik pada pandangan Allah, Penguasa alam semesta.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada hamba-Nya, dipercepatkan (datangnya) hukuman bagi hamba-Nya di dunia. Dan bila Allah menghendaki keburukan pada hamba-Nya, ditahan-Nya dia dari (azab) dosanya sampai dipenuhi-Nya dia pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Hakim)
Tidak ada yang bakal terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan kehendak Allah. Meskipun begitu, perlu diingat bahawa kehendak-Nya pada dasarnya, tercermin pada hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya. Apabila seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya yang tercermin dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta kesukaran.
Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun persekitarannya. Di sini kita sepatutnya berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang menciptakan hukum-hukum-Nya?
Bencana atau musibah yang melanda pada hakikatnya memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana. Hal demikian itu semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih, dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.
Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah s.w.t semata-mata, ketika seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantu untuk menghadapi bencana tersebut.
Berlindung
Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah s.w.t berfirman: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (Surah At-Taghabun: 11)
Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan ‘mengundang’ jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Semoga kita semua terpelihara daripada bencana serta dapat menghayati ayat-ayat Allah, baik yang terhampar mahupun yang tertulis.
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa ia adalah hak/benar.” (Surah Fussilat: 53)
Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia ini kerana dunia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan.” (Al-Baqarah: 155)
Ujian ini bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran.
Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para Nabi, siddiqin, dan solihin, kemudian mereka yang mengiringi.”
Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi diri kepada Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita. Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama.
Di dalam al-Quran dinyatakan mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.
Kesabaran yang tinggi amat dituntut dalam Islam kerana dengan memiliki jiwa yang sedemikian umat Islam akan menjadi suatu umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa. Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah keredaan-Nya.