12 Jun 2011

Hak pengadu dalam undang-undang Qazaf

Oleh SHAMSUL MUDA
BERIKUT adalah soal jawab mengenai hak yang diperuntukkan syarak kepada mangsa rogol atau liwat yang membuat aduan berlakunya jenayah tersebut tetapi gagal mengemukakan empat saksi.
Ia menjelaskan dalam keadaan ini, syarak memberikan kepada mangsa rogol atau liwat hak untuk didengari aduannya meskipun tidak mengemukakan empat saksi.
Dalam keadaan ini juga, pengadu tidak dikenakan hukuman qazaf jika terdapat bukti-bukti yang diterima yang menunjukkan berlakunya rogol atau liwat secara paksa.
Soalan: Apakah pengertian qazaf?
Para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut :
i. Menurut Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan pegangan dua murid kanan Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad, qazaf ialah 'menuduh seseorang melakukan zina atau liwat' (Majid Muhammad (1997), al-Hudud Fi al-Fiqh al-Islami, Kuwait : Maktabah al-Falah, halaman 75).
ii. Pada pandangan Imam Abu Hanifah, qazaf ialah 'menuduh seseorang melakukan zina sahaja' (Ibid). Justeru, menurut beliau, perbuatan menuduh seseorang melakukan liwat, tidak boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu 80 kali sebatan. Hukumannya ialah ta'zir iaitu hukuman yang dijatuhkan berdasarkan budi bicara hakim.
[Aduan mangsa rogol atau liwat yang disokong empat saksi]
Adakah seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan hukuman qazaf?
Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan hukuman qazaf apabila dia dapat membawa empat orang saksi. Dalam keadaan ini, hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat, bukannya pengadu.
[Keadaan aduan mangsa rogol atau liwat yang TIDAK disokong empat saksi]
Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?
Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, hendaklah dilihat :
i. Jika dia tidak dapat membawa sebarang bukti (contoh-contoh bukti yang boleh digunakan akan dinyatakan selepas ini) yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana telah menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa sebarang bukti.
Firman Allah (Surah an-Nur : 4)," Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik".
ii. Jika dia membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat, dia dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf (Dalil kepada kenyataan ini akan dinyatakan selepas ini) meskipun gagal mengemukakan empat saksi.
[Proses ke atas aduan mangsa rogol atau liwat]
Adakah ini bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf?
Ya. Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang saksi.
Berdasarkan keterangan ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses berikut :
i Pihak berkuasa perlu mengumpul bukti-bukti yang menunjukkan mangsa betul-betul dirogol atau diliwat;
ii. Apabila terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diliwat, pengadu akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman. Dalam keadaan ini, yang dikenakan hukuman ialah tertuduh seperti yang akan dijelaskan;
iii. Jika pengadu tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau diliwat, pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.
[Bukti-bukti yang boleh digunakan dalam kes rogol atau liwat]
Apakah bukti-selain empat orang saksi yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah rogol atau liwat?
Seperti yang disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam( Iaitu Imam al-Baji dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh Muwatto' Imam Malik seperti yang akan dinyatakan dan Imam Abd. al-Bar dalam kitabnya al-Istizkar seperti yang telah disebutkan sebelum ini ), bukti tersebut seperti :
i. Mangsa datang melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;
ii. Mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau
iii. Tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.
Pada zaman sekarang, kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau liwat seperti laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.
[Dalil mangsa rogol atau liwat yang membawa bukti selain empat saksi dibebaskan daripada hukuman qazaf]
Apakah dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak dikenakan hukuman qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya tanpa mengemukakan empat saksi, tetapi dengan membawa bukti seperti yang dinyatakan? ( Lihat jawapan bagi soalan 5)
Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w, qias dan keterangan ulama.
Dalil Pertama : Hadis Nabi s.a.w
Pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, seorang wanita yang dirogol seorang lelaki secara bersendirian, mendakwa lelaki berkenaan merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.
Setelah suspek ditangkap, wanita tersebut mengesahkan bahawa suspek tersebut adalah perogolnya.
Namun, apabila Nabi s.a.w memerintahkan supaya lelaki tersebut direjam (akan dinyatakan selepas ini bahawa berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki tersebut tidak dikenakan hukuman rejam ), seorang lelaki yang lain mengakui bahawa beliaulah yang sebenarnya merogol wanita berkenaan.
Hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol, sementara suspek serta wanita yang menjadi mangsaAkta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang lain melakukan zina atau liwat. rogol dibebaskan.
Dalam peristiwa ini, Nabi s.a.w tidak menjatuhkan hukuman qazaf ke atas wanita tadi, meskipun beliau telah mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.
Dalil Kedua : Qias
Kes rogol sama dengan kes li'an iaitu seorang suami menuduh isterinya berzina. Dalam kes li'an, si suami boleh menuduh isterinya berzina, tanpa dikenakan hukuman qazaf meskipun tuduhan dilakukan tanpa disokong empat orang saksi.
Dalam keadaan ini, si suami dibebaskan daripada hukuman qazaf kerana beliau terpaksa melakukan li'an bagi menjaga nasab keturunannya.
Dalam kes rogol, mangsa rogol juga terpaksa menceritakan kejadian rogol bagi mengelakkannya disebat atau direjam disebabkan kehamilan luar nikah (Dalam mazhab Maliki, wanita yang hamil tanpa suami yang sah boleh disabitkan dengan kesalahan zina).
Oleh kerana, seseorang yang menuduh isterinya berzina, tanpa membawa empat saksi tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi menjaga nasab keturunannya, maka demikian juga mangsa rogol yang mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi, juga tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkannya disabitkan dengan kesalahan zina disebabkan kehamilan luar nikah. (Rujuk al-Muntaqa Syarh al-Muwatto' karangan Imam al-Baji, jilid 4, halaman 21)
Dalil Ketiga : Keterangan ulama
Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa mangsa rogol yang mengadu dirogol dengan membawa bukti lain selain empat saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf, ialah Imam al-Baji.
Beliau berkata, (Al-Baji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqa Syarh Muwatto' Malik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jilid 4, halaman 21) :
(Terjemahannya) - Jika kedua-dua orang saksi (Imam Al-Baji menyebut 'kedua-dua orang saksi' kerana sebelum petikan di atas beliau memperkatakan tentang wanita yang mendakwa dirogol tanpa membawa empat orang saksi. Maka 'dua orang saksi' diambil sebagai contoh bagi 'saksi yang kurang daripada empat orang') tidak melihatnya, iaitu wanita yang mendakwa dirogol dipaksa melakukan persetubuhan dan tidak juga menyatakan kemungkinan dia dipaksa melakukan persetubuhan, tetapi dia datang kepada pihak berkuasa sambil berpaut padanya iaitu pada tertuduh dalam keadaannya berdarah (maksudnya dalam keadaan kemaluannya berdarah) jika dia [seorang] gadis, atau datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan tidak berdarah jika dia seorang janda maka dalam kitab Ibn al-Mawaz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, dinyatakan bahawa "dia tidak dikenakan hukuman hudud (iaitu hukuman qazaf) disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)".
Kesimpulannya, hadis Nabi s.a.w, qias dan kenyataan ulama yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam kes rogol, mangsa mempunyai hak didengari aduannya, walaupun tidak membawa empat saksi.
Dalam kes rogol yang kebiasaannya berlaku secara tersembunyi, aduan mangsa diambil kira dan mangsa dibebaskan daripada hukuman qazaf, jika terbukti bahawa kejadian rogol benar-benar berlaku melalui pembuktian yang dinyatakan (Rujuk jawapan bagi soalan 5).
Anggapan banyak pihak bahawa seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat secara paksa oleh seseorang, tanpa mengemukakan empat saksi, terus dianggap telah melakukan kesalahan qazaf, adalah anggapan yang silap seperti yang dapat dilihat melalui hadis Nabi s.a.w, qias dan keterangan ulama yang dinyatakan.
[Hukuman ke atas tertuduh dalam kes rogol atau liwat yang disokong bukti]
Jika mangsa rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, tetapi dapat membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan (Lihat Jawapan bagi Soalan 5), bagaimana dengan tertuduh?
Jika mangsa dapat mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, tertuduh dikenakan hukuman seperti berikut :
i. Membayar wang dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada mangsa. Hukuman ini dikenakan dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang melihat tanda-tanda berlakunya jenayah rogol atau liwat; dan mangsa bersumpah bahawa dia telah dirogol (Al-Baji (1992), jilid. 4, halaman 21).
ii. Hakim boleh mengenakan hukuman ta'zir - iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi bicara hakim- ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang daerah dan sebagainya.
Hukuman ta'zir wajib dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan maksiat yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak (Zaydan, Abdul Karim (1992), Usul ad-Da'wah, Baghdad : Maktabah al-Quds, halaman 293).
[Perbicaraan Kes Qazaf menurut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Syariah Malaysia - Mahkamah yang berhak dari segi undang-undang mengadili kes qazaf]
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang mempunyai kuasa membicarakan kes rogol atau liwat?
Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak melibatkan Undang-undang Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang berhak membicarakannya ialah mahkamah sivil atau jenayah, bukannya Mahkamah Syariah.
[Aduan mangsa rogol atau liwat yang tidak disokong empat saksi menurut Undang-Undang Syariah di Malaysia]
Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang mengadu dirogol atau diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal membawa empat orang saksi?
Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang lain melakukan zina atau liwat.
Ini bermakna, akta ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina atau liwat itu sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya, atau menyatakan pasangannya melakukan zina dengannya.
SHAMSUL MUDA ialah Pegawai di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan